Hampir 40 peratus tenaga kerja Malaysia tiada perlindungan persaraan

Hampir 40 peratus tenaga kerja Malaysia tiada perlindungan persaraan

AHMAD ZULQARNAIN ONN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 40 peratus daripada tenaga kerja Malaysia masih tidak mempunyai perlindungan persaraan formal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn berkata, golongan tersebut merangkumi pekerja ekonomi gig seperti penghantar makanan, pemandu e-hailing, individu bekerja sendiri dan mereka dalam pekerjaan tidak konvensional.

Katanya, fenomena ini menunjukkan jurang besar dalam sistem perlindungan sosial negara dan berpotensi menjadi risiko sosial yang serius jika tidak ditangani segera.

“Isu ini bukan sekadar kelemahan dasar. Ia adalah risiko sosial yang boleh memberi kesan besar kepada struktur masyarakat jika tiada tindakan sewajarnya.

“Jika kita tidak bertindak sekarang, kos akan melonjak mendadak apabila jangka hayat rakyat semakin meningkat,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa  ke-12 2025 (ISWC 2025) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zulqarnain berkata, isu tersebut perlu ditangani segera kerana ia melibatkan masa depan sistem persaraan negara dan kesejahteraan jangka panjang rakyat Malaysia.

Menurut beliau, sistem perlindungan sosial masih berpaksikan model tradisional yang dibina ketika kebanyakan tenaga kerja mempunyai kerjaya tetap. 

Namun kini, corak pekerjaan telah berubah secara drastik dan memerlukan pendekatan yang baharu.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada sistem lama untuk menangani realiti ekonomi hari ini. Kita memerlukan pendekatan yang lebih inklusif dan fleksibel.

“Jika tiada perubahan menyeluruh dilakukan, Malaysia bakal berdepan peningkatan warga emas tanpa simpanan mencukupi, sekali gus memberi tekanan besar kepada sistem kebajikan dan kesihatan negara,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya kini sedang merangka pelbagai pembaharuan termasuk memperluaskan liputan perlindungan sosial kepada sektor tidak formal dan menyediakan instrumen kewangan yang lebih mudah diakses oleh semua jenis pekerja.

“Apa yang kita lakukan hari ini akan menentukan sama ada rakyat kita boleh bersara dengan bermaruah atau hidup dalam ketidaktentuan sepanjang usia tua mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN