Hamidin kembali sertai FAM?

Hamidin kembali sertai FAM?

HAMIDIN MOHD AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Tan Sri Hamidin Mohd Amin difahamkan bakal menyertai semula Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai Presiden Kehormat badan induk itu.

Bekas presiden FAM selama dua penggal dari 2018 hingga awal 2024 itu akan dilantik menjawat jawatan itu dalam Kongres Luar Biasa badan induk itu pada Isnin ini.

Bagaimanapun, jawatan itu tidak memberi kuasa eksekutif, elaun atau sebarang gaji seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak di media sosial.

Ia sekaligus tidak akan menjejaskan kuasa presiden semasa memandangkan jawatan Presiden Kehormat tidak terbabit secara langsung dalam urusan operasi harian FAM dan tidak mempunyai hak mengundi seperti termaktub dalam Artikel 22 Statut FAM.

Jawatan itu pernah disandang oleh Almarhum Sultan Ahmad Shah pada 2014 selepas baginda melepaskan jawatan Presiden FAM ketika itu, sekali gus akan menjadikan Hamidin sebagai individu kedua menerima pengiktirafan sama.

Menurut sumber, pelantikan itu merupakan satu penghormatan kepada jasa dan sumbangan besar Hamidin sepanjang mengetuai badan induk itu, termasuk membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2022 dan memperkemas struktur bola sepak profesional negara.

Malah, tindakan ini selari dengan amalan badan sukan antarabangsa yang sering kali mengiktiraf jasa pemimpin terdahulu atas sumbangan mereka terhadap pembangunan sukan negara.

Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub ketika ditanya mengenai agenda bakal dibincang pada kongres luar biasa itu, beliau menjelaskan antara perkara akan dibentangkan adalah hala tuju baharu bola sepak negara termasuk aspek pembangunan akar umbi dan teknikal.

“Kita akan memberi keutamaan dalam pelan pembangunan akar umbi jangka panjang dan beberapa perkara lain dalam memastikan bola sepak Malaysia terus maju. Kita juga mahu memastikan struktur dalaman FAM menjadi lebih mampan dan profesional,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN