LONDON: Bekas pemandu Formula Satu (F1), Jolyon Palmer percaya bahawa Grand Prix (GP) Kanada hujung minggu ini adalah peluang terbaik untuk Lewis Hamilton mengubah nasibnya di Ferrari.
Hamilton cemerlang di Litar Gilles Villeneuve sepanjang kerjayanya, dengan tujuh rekod kemenangan di Montreal malah pemandu British itu meraih kemenangan sulungnya dalam F1 pada 2007 bersama McLaren dari petak utama.
Sepanjang penglibatannya dalam sukan F1, Hamilton sering menunjukkan prestasi terbaiknya di Kanada, dengan kemenangan terbarunya pada 2019.
Selain daripada perlumbaan pecut di China, Hamilton bergelut untuk menemui rentak musim ini.
Rakan sepasukannya, Charles Leclerc meraih podium ketiganya tahun ini dalam perlumbaan terakhir di Barcelona, manakala Hamilton menamatkan saingan di tempat keenam, tewas kepada Nico Hulkenberg dari pasukan Sauber pada pusingan terakhir.
“Mereka tak boleh jadi lebih teruk daripada itu, kan? Itu satu perkara positif untuk mereka. Ia seteruk yang mungkin tapi, atas kertas, ini adalah litar yang baik untuk Ferrari.
“Selekoh-selekohnya kebanyakannya berkelajuan rendah, itulah yang membolehkan kereta mereka berfungsi dengan baik di Monaco. Mereka tak perlu risau tentang tetapan berkelajuan tinggi. Mereka hanya perlu merendahkan kereta dan buat ia berfungsi.
“Tapi ya, mereka jelas gagal tahun lepas. Mereka benar-benar mengacau strategi kelayakan. Kalau anda di Ferrari sekarang, anda akan fikir ini peluang terbaik yang ada.
“Tambahan pula, Hamilton memang cemerlang di Montreal secara umum. Saya rasa ini perlu jadi litar penebusan untuk Lewis,” katanya. – AGENSI