Kisah Wan Piah memakai susuk menjadi rahsia Sarip dan rakan-rakannya. Mereka tidak menceritakan perkara tersebut kepada orang lain kerana takut jika terbongkar nanti pastinya rahsia mereka mengendap di rumah Wan Piah akan diketahui ramai.
Saban hari seperti lazimnya Wan Piah akan bersiar-siar di pelosok kampung. Dia masih lagi menguntum senyuman dan melirikkan matanya yang seksi apabila ditegur atau diusik oleh lelaki yang berselisih dengannya. Perkara sedemikian membuatkan Sarip dan rakan-rakannya menjadi semakin meluat, apatah lagi bila terbayangkan sosok sebenar Wan Piah yang mereka lihat malam itu.
Hendak sahaja rasanya Sarip bercerita hal sebenar, tetapi sering ditegah rakan-rakan lain kerana jika ‘kantoi’ nanti mereka juga yang tanggung malu, jadi terpaksa berlakon seperti tidak tahu menahu malah jika terserempak dengan Wan Piah, mereka juga akan tegur dan puji seolah tidak pernah tahu cerita sebaliknya.
Hendak dijadikan cerita tiba-tiba Wan Piah dikhabarkan sakit tenat. Ramailah jiran tetangga dan orang kampung datang melawatnya. Maklumlah, Wan Piah tinggal seorang diri risau pula kalau terjadi perkara yang tidak diingini.
Sarip dan rakan-rakannya tidak ketinggalan menziarah sama. Mereka datang bersama Tok Ketua dan beberapa penduduk kampung. Memang sedih melihat keadaan Wan Piah ketika itu, mukanya pucat dan cengkung, malah tubuhnya yang dahulu montok dan gebu sudah seperti sekeping papan.
“Pelik juga, kenapa sampai macam itu sekali keadaan Wan Piah. Rasanya baru minggu lepas aku jumpa dia di kedai Maniam, elok saja dia sihat,” kata Tok Ketua sewaktu mereka berjalan pulang.
Sarip dan rakan-rakannya berpandangan. Mahu sahaja dia membuka mulut meneka apa yang terjadi, tetapi Seman pantas memberi isyarat kepadanya, terus dia terbantut.
“Betul tu, cepat sangat penyakitnya merebak sampaikan berbeza sungguh Wan Piah berbanding kita jumpa sebelum ini,” sambung Deraman bersungguh.
Namun lain pula yang bermain di pemikiran Sarip dan rakan-rakannya. Mereka masih tertanya-tanya kenapa begitu sekali perubahan yang berlaku kepada Wan Piah. Adakah kerana dia melanggar pantang atau pun ada perkara lain yang dilakukan sehingga keadaannya jadi sedemikian.
Seman pula meneka yang Wan Piah ada melanggar pantang, kerana jika tidak mana mungkin wajah dan tubuhnya berubah seperti itu. Tambahan pula katanya jika seseorang itu mengamalkan amalan yang bertentangan dengan agama, pastinya akan dapat mudarat jika tidak patuh dengan larangannya.
Cerita Wan Piah jatuh sakit tersebar dengan cepat ke pelosok kampung. Namun pelbagai cerita kurang enak mula timbul apabila ada yang mengatakan kononnya Wan Piah selama ini ada menuntut ilmu hitam dan berdamping dengan syaitan untuk mengekalkan kecantikannya.
Dukun dan doktor datang bersilih ganti merawat Wan Piah, namun masih tiada tanda-tanda akan pulih. Setiap individu yang merawatnya pula memberikan kenyataan berbeza sehinggakan tidak tahu mana satu yang betul atau mana satu yang salah.
“Saya sudah periksa habis pesakit ini, tak nampak ada apa-apa masalah kesihatan. Semuanya baik dan okey, tetapi kalau nak lagi tepat boleh minta ahli keluarganya bawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” kata seorang doktor Singh yang datang dari bandar.
Namun lain pula jawapan daripada Dukun Saleh yang turut merawat Wan Piah. Katanya, Wan Piah ada mewarisi saka dari keturunannya sebelum ini, tetapi Wan Piah tidak mahu ‘menjaganya’, jadi sekarang ini saka tersebut mengganggunya dan masuk ke tubuh tanpa disedari.
Sarip dan rakan-rakannya sekadar tersengih apabila mendengar pelbagai teori yang tidak masuk akal daripada mereka, namun mereka tidak menyanggah atau menafikannya, mereka hanya mengangguk dan mengiyakan seolah bersetuju dengan apa yang mereka katakan.
Dua minggu kemudian keluarlah cerita yang tidak sedap didengar. Wan Piah yang sakit sudah mulai tenat dan tidak sedarkan diri. Tubuh dan wajahnya sudah tidak seperti dulu. Mereka yang datang melawat semuanya mengatakan Wan Piah seperti mayat hidup yang masih bernyawa.
Sarip dan rakan-rakannya sekali lagi melawat Wan Piah. Memang betul, kali ini mereka cukup terkejut melihat sosok wanita itu. Dia terbaring kaku dan matanya terbuntang memandang ke atas.
Hanya nafasnya yang sesekali berombak sahaja menandakan dia masih hidup dan bernyawa.
Malam itu penduduk kampung datang beramai-ramai ke rumah Wan Piah untuk membaca Yasin. Dan ketika itulah berlakunya perkara di luar jangkaan. Wan Piah menjerit tidak sedarkan diri sambil meronta-ronta meminta mereka pulang.
“Balik! Balik! Kau buat apa ramai-ramai datang ke rumah aku ini? Jeritnya sambil mendengus kuat.
Hampir semua tetamu yang berada di situ terkejut dan tergamam, malah ada juga di antara mereka yang sudah melompat turun ke tanah kerana ketakutan.
Dan sewaktu Tok Imam bersama beberapa jemaah lain menenangkan Wan Piah, ketika itulah tiba-tiba dadanya berombak kencang sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya. – UTUSAN
BERSAMBUNG MINGGU hadapan










