DAP gesa Peguam Negara teruskan pendakwaan kes Teoh Beng Hock

DAP gesa Peguam Negara teruskan pendakwaan kes Teoh Beng Hock

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa meneruskan pendakwaan terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam kes kematian bekas Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Gesaan itu disuarakan menerusi kenyataan bersma Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Menerusi kenyataan itu, AGC juga digesa tidak menutup kes berkenaan atas alasan kekurangan bukti dan menyemak semula keputusan tiada tindakan lanjut (NFA). 

Katanya, tindakan itu jelas bercanggah dengan fakta kes dan keputusan mahkamah serta mempersoalkan ketiadaan sebarang pendakwaan dilakukan berhubung kes tersebut selepas 15 tahun. 

“Kami menyokong tindakan oleh keluarga mendiang yang sedang mempertimbangkan untuk mencabar keputusan NFA di mahkamah melalui semakan kehakiman.

“Kami mohon peguam negara menyemak keputusan dan meneruskan pertuduhan terhadap individu yang bertanggungjawab terhadap kematian Beng Hock,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, DAP menggesa Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menyatakan alasan di sebalik keputusan NFA yang dibuat pada 19 Mei lalu. 

“Beliau mesti menjelaskan alasan di sebalik keputusan NFA itu, selepas mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan dan prosiding sivil di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan berhubung kematian Beng Hock pada 2009 diklasifikasikan sebagai NFA.

Beliau berkata, kertas siasatan kes itu dirujuk kepada AGC selepas dilengkapkan pada 17 April lalu, selaras dengan arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 21 November 2023.

Beng Hock meninggal dunia pada 16 Julai 2009 selepas ditemukan terjatuh dari tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN