Tarian: Dancing accountant yang lincah dan bijak

Dancing accountant yang lincah dan bijak

FARIZA AMIRA mencatat kejayaan dalam budang tarian dan akademik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka seseorang yang hanya bermula dalam bidang tarian ketika berumur sembilan tahun setelah diajak abangnya, kini sudah boleh berbangga sebagai juara di peringkat dunia.

Itulah Fariza Amira Abd. Karim, graduan Diploma Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak yang pernah mengharumkan nama negara dan UiTM dalam empat pertandingan antarabangsa ketika masih bergelar mahasiswa UiTM.

Menceritakan pengalamannya, Fariza Amira yang berasal daripada Puchong, Selangor mula memasuki UiTM ketika seluruh dunia diserang wabak Covid-19 pada tahun 2020 namun dia bijak menguruskan masa antara minat dan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar.

“Tekanan memang ada untuk seimbangkan antara tarian dengan belajar namun sokongan dan doa berterusan ahli keluarga khususnya ibu bapa saya membolehkan saya dapat mengharunginya hingga ke bergelar juara dalam tarian dan bergelar graduan UiTM,” katanya.

Antara pencapaian yang Amira Fariza tidak boleh lupakan termasuklah antaranya kemampuan bergelar juara pertandingan tarian di San Diego, Amerika Syarikat dan Korea Selatan sebelum ini.

“Berdepan dengan peserta-peserta hebat daripada seluruh dunia terutamanya Amerika Syarikat bukannya satu tugas mudah tambah pula kita datang daripada Asia selalu dianggap sebagai tidak kompetitif namun saya berjaya buktikan sebaliknya,” tambah Amira Fariza lagi yang kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UiTM Tapah.

Fariza juga tidak melupakan ketika menyertai pertandingan di Korea Selatan, dia mengalami kecederaan lutut namun tetap meneruskan juga dan ternyata ia menghadirkan suatu keputusan yang membanggakan.

Fariza Amira mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menyokong khususnya abangnya yang tidak jemu melatihnya serta UiTM Cawangan Perak sendiri yang memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk termasuklah kewangan untuk dirinya bertanding.

“UiTM Perak dan pensyarah saya sentiasa memberikan sokongan kepada saya terutamanya sokongan dalam bentuk material dan membenarkan saya berlatih namun dalam masa yang sama, pembelajaran tidak terjejas,” katanya lagi.

Fariza bercita-cita untuk menjadi pensyarah namun dia juga mempunyai impian untuk menaikkan lagi imej akademi tarian yang dikendalikan keluarganya dikenali sebagai Zeppo Youngsterz.

Fariza turut menitipkan kata-kata pembakar semangat buat rakan-rakan dan mereka yang bakal bergelar mahasiswa khususnya UiTM. “Kejarlah impian anda semua dan fokus dengan bidang yang diceburi, tetapkan niat dan matlamat serta konsisten sambil teruskan berdoa, Insyaallah impian anda semua akan tercapai, sambil tu jangan lupa jasa mereka yang banyak berjasa kepada anda semua,” ujanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN