PORT DICKSON: Seekor buaya tembaga seberat 300 kilogram (kg) ditangkap selepas dipercayai tersesat di dalam parit dalam kejadian di Kampung Permatang Pasir, Linggi, di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya menangkap buaya sepanjang tiga meter itu selepas pihaknya menerima laporan orang awam yang melihat haiwan berkenaan kira-kira pukul 1.45 tengah hari.
“Buaya tembaga jantan itu berada dalam parit dekat kebun kelapa. Operasi menangkap reptilia itu dilakukan membabitkan kakitangan Perhilitan dengan kerjasama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson.
“Hasil pemeriksaan mendapati buaya jantan itu dianggarkan seberat 300 kg dengan panjang tiga meter. Buaya ini kemudiannya dipindahkan ke Paya Indah Wetland, Dengkil di Selangor,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Faizal Izham lagi, pihaknya mengesyaki buaya itu dari Sungai Linggi.
“Berdasarkan maklumat penduduk, haiwan itu tidak menganggu dan mengancam mereka namun kami tetap memindahkannya ke habitatnya yang lebih sesuai,” katanya. – UTUSAN