Bola sepak Kelantan belum 'mati'

Bola sepak Kelantan belum ‘mati’

BEKAS penyerang import The Red Warriors, Mohamed Ghaddar berjaya melepasi kawalan pemain Ex-Double Treble Kedah pada aksi persahabatan Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin. Aksi itu dimenangi Ex-TRW 2012 dengan keputusan 3-0.- IHSAN PUC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bola sepak di Kelantan belum terkubur selepas puluhan ribu peminat hadir menyaksikan perlawanan membabitkan bekas pemain The Red Warriors (TRW) di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Kehadiran hampir 25,000 penonton yang melimpah sehingga ke trek stadium keramat Kelantan bagi aksi Ex-TRW 2012 menentang Ex-Double Treble itu jelas membuktikan peminat TRW rindukan zaman kegemilangan mereka.

Perlawanan berkenaan sememangnya menggamit semula memori di zaman kegemilangan TRW yang pernah merangkul tiga kejuaraan pada 2012 selain pernah membawa nama Malaysia ke pentas saingan Piala AFC.

Rata-rata peminat teruja dan menyifatkan perlawanan tersebut sebagai pentas untuk melepaskan rindu kepada pasukan kesayangan biarpun sedar suasana itu sukar untuk diulangi semula pada ketika ini.

Bagaimanapun, jika kena caranya, bola sepak Kelantan boleh bangkit semula apabila ada wakil daripada negeri berkenaan beraksi dalam saingan Liga Super dan juga Liga A1 Semi Pro pada musim depan.

Dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, Kelantan Darul Naim (KDN) akan beraksi di pentas tertinggi Liga Super, manakala Kelantan WTS dan Kelantan Red Warriors (KRW) pula berentap di Liga A1 Semi Pro.

Untuk nasib ketiga-tiga pasukan itu bergantung kepada mereka sendiri, jika melakar deretan kemenangan, maka berduyung-duyunglah peminat akan berkampung di stadium untuk memberi sokongan.

Itulah uniknya bola sepak Kelantan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN