Beregu campuran mahu ‘tiru’ pencapaian gandingan lelaki

Beregu campuran mahu ‘tiru’ pencapaian gandingan lelaki

TANG Jie-Ee Wei diharapkan mampu meraih podium di Terbuka Jepun dan Terbuka China pada bulan depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kem beregu campuran negara mahu menjadikan prestasi cemerlang gandingan lelaki sebagai pembakar semangat meraih gelaran utama dunia.

Ketua jurulatih beregu campuran Malaysia, Nova Widianto berkata, Malaysia tidak ketandusan bakat dalam beregu campuran dan mampu menyerlah di peringkat antarabangsa.

Katanya, impian untuk melakar kejayaan lebih besar selepas kemelut beregu utama bimbingannya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei telah diselesaikan baru-baru ini.

Malah, katanya, bukan sekadar pasangan No. 4 dunia itu menjadi pertaruhan, tetapi, terdapat kira-kira lima lagi beregu yang berada di dalam pemantauannya.

“Untuk Tang Jie-Ee Wei, saya berharap mereka dapat memperbaiki kekurangan menjelang Terbuka Jepun dan Terbuka China, Julai ini, mudah-mudahan kita dapat hasil yang maksimum.

“Saya juga ada melihat hasil yang dilakar melalui beregu lelaki dan juga wanita, ia memberi saya motivasi untuk berbuat perkara sama dalam beregu campuran,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dekat sini, semalam.

Pengendali kelahiran Indonesia itu berkata, selain Tang Jie-Ee Wei, beregu campuran kini memiliki sekurang-kurangnya tiga lagi pasangan yang stabil permainan mereka.

“Mungkin kita ada sekitar enam pasangan, tetapi, kita mungkin bisa dapat empat lagi beregu, kalau boleh saya mahu gandingan yang lebih ramai,” katanya.

Pada ketika ini, beregu campuran naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berada dalam kelompok 20 terbaik dunia adalah Tang Jie-Ee Wei (No. 4 dunia) dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (No. 13 dunia), manakala, tiga lagi pasangan memiliki potensi ialah Valeree Siow-Yap Roy King (No. 92 dunia), Loo Bing Kun-Go Pei Kee (beregu baharu) serta Wee Yee Hern-Chan Wan Tse (No. 114 dunia).

Nova berkata, impian tertingginya ialah melihat beregu-beregu bimbingannya bergelar juara dunia dan sebagai jurulatih beliau harus ada keyakinan untuk berbuat demikian.

“Buat masa ini, Valeree masih belum pulih daripada kecederaan, tetapi untuk Bing Kun-Pei Kee, saya rasa mereka mempunyai peluang cerah untuk melangkah jauh sekurang-kurangnya dalam kelompok 30 terbaik dunia,” katanya.

Mengulas pula mengenai beregu campuran di pentas antarabangsa ketika ini, Nova berkata, sejak juara Olimpik dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong bersara, persaingan kini lebih terbuka dan sesiapa sahaja boleh merangkul gelaran.

Katanya lagi, selain dua beregu China (Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dan Jian Zhen Bang-Wei Ya Xin), persaingan turut hadir daripada Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong, tetapi, yang harus diberi perhatian ialah pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN