1,858 polis terlibat Op Lancar sempena Aidiladha

1,858 polis terlibat Op Lancar sempena Aidiladha

MOHD. YUSRI HASSAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 1,858 pegawai kanan dan anggota polis terlibat dalam Op Lancar sempena sambutan Aidiladha yang bermula hari ini bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar dan keselamatan para pengguna jalan raya di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya memberi fokus utama dalam operasi itu iaitu memastikan aliran trafik yang lancar dan keselamatan pengguna serta meminimumkan kes kemalangan.

“Op Lancar juga memfokuskan kawasan hotspot yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas ekoran pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan nanti.

“Semua pegawai dan anggota JSPT diatur gerak secara holistik dan bersistematik untuk mengurangkan beban kesesakan di lebuh raya, jalan persekutuan, negeri dan bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Yusri berkata, para pengguna jalan raya justeru itu perlu peka dengan informasi terkini mengenai aliran trafik di media sosial rasmi JSPT yang dapat membantu masyarakat merancang perjalanan masing-masing.

“Laksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan patuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahguna lorong kecemasan atau memarkir kenderaan sehingga menghalang laluan.

“Tindakan tegas akan diambil kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan yang mengundang kepada kemalangan jalan raya,” jelasnya.

Mohd. Yusri berkata, komitmen pasukannya untuk memastikan masyarakat dapat menyambut Aidiladha dengan selamat dan sejahtera sepanjang perjalanan.

“Melalui penugasan Op Lancar ini, JSPT komited untuk memastikan masyarakat dapat merayakan sambutan Hari Raya Aidiladha dalam suasana sejahtera dan selamat sepanjang perjalanan.

“Kerjasama orang ramai sepanjang tempoh sambutan perayaan ini akan memastikan keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN