BENTONG: Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik (JSPT) mengatur tugas 500 pegawai dan anggotanya dalam Op Lancar sempena Deepavali bermula 17 Oktober hingga 21 Oktober ini.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, operasi itu akan memberi tumpuan kepada lebuh raya utama, jalan bandaran serta jalan Persekutuan yang dijangka mengalami peningkatan jumlah kenderaan menjelang musim perayaan.
“Kami (JSPT) jangkakan kira-kira 2.1 juta kenderaan berada di atas jalan raya sepanjang musim perayaan.
“Fokus utama Op Lancar kali ini adalah memastikan kelancaran perjalanan pulang ke kampung, mengurangkan kadar kemalangan dan membantu pengguna jalan raya yang menghadapi masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Latihan Menembak JSPT bersama pihak media di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di sini hari ini.
Mohd. Yusri dalam pada itu menyeru pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang dan memandu kenderaan secara berhemah.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau kemalangan kepada pihak polis bagi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam sepanjang musim perayaan ini,”jelasnya. – UTUSAN










