KUALA LUMPUR: Seramai 45 mahasiswa dan mahasiswi Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyantuni golongan gelandangan dan asnaf di Chow Kit pada Sabtu lalu.
Kesemua mereka menjayakan program kesukarelawanan ‘Jiwa Putra KDTI@ChowKit anjuran Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) UPM bagi sesi 2024/2025.
Program dengan kerjasama Food For Gelandangan (FGG) dianjurkan untuk membantu golongan kurang bernasib baik melalui pengagihan makanan, pakaian terpakai dan barangan persekolahan.
Program dimulakan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar dan penagihan makanan kepada golongan gelandangan yang berada di sekitar Chow Kit.
Sumbangan pakaian terpakai juga diadakan sebagai simbolik sokongan, keprihatinan dan bantuan terhadap komuniti gelandangan di kawasan berkenaan.

Salah seorang peserta, Muhammad Firdaus Muhammad Zafri berharap program berkenaan dapat memberi keselesaan dan bantuan kepada penerima selain menjadi lambang kasih sayang masyarakat terhadap golongan gelandangan yang sering dipinggirkan.
Katanya, segala luahan yang dikongsi mereka dapat dijadikan sebagai pengajaran serta pedoman dalam hidup dan sebagai seorang mahasiswa, program seperti ini boleh memupuk rasa simpati, sikap ihsan dan keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara.
“Program ini bukan sekadar untuk menyampaikan bantuan, tetapi sebagai wadah membina jalinan kasih, kemanusiaan dan persahabatan dalam kalangan mahasiswa agar terus cakna terhadap isu-isu sosial yang berlaku di dalam negara.
“Pihak penganjur turut berharap program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dan memberi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa dan mahasiswi untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan,” katanya.-UTUSAN