Tokoh guru ajar subjek Sejarah secara percuma selepas bersara

Tokoh guru ajar subjek Sejarah secara percuma selepas bersara

MOHMAD Taib Abdullah ketika memberikan tunjuk ajar kepada pelajar yang datang ke kelas tuisyen percuma kendaliannya di Taman Impian Rembau. - UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Walaupun sudah lapan tahun bersara sebagai seorang pendidik, Mohmad Taib Abdullah, 68, tetap mahu terus memberikan sumbangannya dalam bidang pendidikan.

Tokoh Guru Negeri Sembilan 2020 yang juga merupakan bekas guru cemerlang mata pelajaran Sejarah itu, selagi kesihatannya mengizinkan, sumbangannya dalam bidang pendidikan tidak akan pernah berhenti.

Sebab itulah, dia kini mengadakan kelas tuisyen secara percuma di rumahnya yang dihadiri pelajar secara berkumpulan.

“Saya berasa terpanggil apabila masih ada pelajar yang datang mencari saya untuk mempelajari subjek Sejarah.

“Mereka benar-benar mahu memahami topik-topik penting dan itu menjadi dorongan besar buat saya untuk terus mencurahkan ilmu.

“Semangat saya untuk terus mendidik anak bangsa tidak pernah luntur, kerana bagi saya selagi ada ruang dan peluang, tanggungjawab ini akan terus saya galas dengan sepenuh jiwa,” katanya,” ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Impian Rembau di sini.

Pernah dicalonkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan pada tahun 2021 dan 2022, Mohmad Taib berkata, tugas guru kini perlu berdepan dengan pelbagai cabaran yang menuntut mereka untuk tabah dan bijak bagi menyampaikan ilmu secara berkesan.

“Sehubungan itu, masyarakat harus sedar kepentingan peranan guru kepada pembangunan bangsa. Mereka ialah insan di barisan hadapan yang membina masa depan negara melalui pendidikan.

“Penghargaan dan sokongan moral daripada semua pihak amat penting untuk memastikan guru terus bersemangat dalam melaksanakan tugas mulia ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihati golongan pendidik supaya memberikan sepenuh komitmen dan keikhlasan hati kerana seorang guru memikul tanggungjawab peranan besar termasuk membentuk akhlak dan jati diri murid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN