PETALING JAYA: Malaysia akan mempunyai sekurang-kurangnya satu wakil di suku akhir selepas dua beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Arif Junaidi-Yap Roy King bertembung sesama sendiri pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Singapura di Singapura, esok.
Pasangan No. 1 dunia itu tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 21-13, 21-11 dalam masa 32 minit pada peringkat 32 terbaik, hari ini.
Sementara Arif-Roy King yang merupakan gandingan ke-23 dunia menumpaskan beregu Perancis, Eloi Adam-Leo Rossi 21-13, 21-18 dalam masa 36 minit di peringkat sama.
Satu lagi wakil Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menghuni ranking No. 3 dunia membenam cabaran beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 21-19, 24-22 dalam masa 48 minit.
Di pusingan kedua, juara Asia itu dijadualkan menentang beregu handalan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang menewaskan pasangan profesional Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-16, 21-18.
Pemenang Malaysia Masters, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan prestasi konsisten selepas menumbangkan wakil Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh 21-18, 21-19 dalam masa 36 minit.
Beregu No. 7 dunia itu akan bertemu Huang Di-Liu Yang dari China di pusingan seterusnya.
Dalam saingan beregu wanita pula, Pearly Tan-M. Thinaah mengetepikan Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan dari Hong Kong 21-16, 21-18 dalam masa 33 minit.
Gandingan No. 4 dunia itu bakal berdepan laluan yang lebih getir selepas beregu Jepun yang menghuni ranking ke-12 dunia, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto menewaskan Francesca Corbett-Jennie Gai dari Amerika Syarikat 21-14, 21-17 dalam masa 35 minit.
Sementara itu, dalam aksi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao tidak perlu mengerah keringat untuk mara ke pusingan kedua selepas pemain China, Lei Lan Xi menarik diri dan jaguh Indonesia, Jonatan Christie menjadi lawan pemain No. 25 dunia itu.
Selain Yew Sin-Ee Yi yang terpaksa pulang awal, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri turut menerima nasib serupa selepas kalah kepada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India 16-21, 13-21. – UTUSAN