CYBERJAYA: Penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi mendedahkan senjata rahsia di sebalik aksi tangkasnya menjaga gawang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Harimau Malaya menerusi sarung tangan direka khas.
Syihan berkata, kesemua sarung tangan yang digunakannya direka khusus mengikut bentuk dan keperluan tangannya bagi memberikan keselesaan serta cengkaman maksimum.
Lebih menarik, Syihan berkata beliau mengubah suai bahagian jari hantu dan manis kerana itu titik utama sentuhan pertama ketika menangkap bola.
“Bagi saya, kedua-dua jari berkenaan digunakan bagi menahan bola. Ini kerana, apabila bola datang ke arah tangan, lazimnya akan tiba di bahagian tengah.
“Bola kebiasaannya menuju ke bahagian tengah tapak tangan, jadi dua jari itu paling kritikal untuk menyelamatkan percubaan,” kata Syihan kepada pemberita pada Majlis Acara Menandatangani Memorandum Kerjasama jenama sukan FAT dari Indonesia, di sini, hari ini.
Syihan yang kini antara penjaga gol terbaik negara turut menyifatkan rekaan khas itu memberi kelebihan dalam aksi berintensiti tinggi di peringkat tertinggi.
Selain Syihan, tiga lagi penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel (Selangor FC), Rahadiazli Rahalim dan Syed Nasrulhaq Syed Bidin (Terengganu FC) turut diumumkan sebagai wajah rasmi jenama berkenaan. – UTUSAN