Soon Huat-Shevon tersingkir, Khai Xing-Aaron mara di Malaysia

Soon Huat-Shevon tersingkir, Khai Xing-Aaron mara di Malaysia Masters

GOH Soon Huat-Shevon Lai tewas kepada beregu muda Denmark Mads Vestergaard-Chirstine Busch 21-18, 21-19 pada aksi pusingan pertama Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nasib berbeza mengiringi dua beregu senior dan junior Malaysia iaitu Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai serta Kang Khai Xing-Aaron Tai yang bertemu pencabar dari Denmark pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Bagi beregu campuran No. 3 dunia, Soon Huat-Shevon hasrat mereka mempertahankan gelaran pada Malaysia Masters berkecai selepas tewas mengejut di tangan pasangan ke-20 dunia, Mads Vestergaard-Christine Busch 18-21, 19-21 dalam masa 38 minit.

Namun, berbeza pula dengan juara remaja dunia, Khai Xing-Aaron yang melakar kejutan ke atas naib juara Terbuka Thailand, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 12-21, 21-11, 21-17 dalam masa 48 minit.

Pada pusingan kedua, Khai Xing-Aaron akan bertemu beregu No. 16 dunia, Rasmus Kjaer-Federik Sogaard juga dari Denmark, esok.

Shevon ketika ditemui pemberita berkata, persembahan yang tidak stabil menjadi punca kekalahan mengejut mereka di tangan Vestergaard-Busch.

“Saya kecewa dengan kekalahan ini, tetapi secara keseluruhan ia satu pengajaran berguna buat kami berdua kerana kami sebenarnya masih tercari-cari rentak dan momentum selepas Soon Huat ditimpa kecederaan dua minggu lepas.

“Kami juga ada mencuba gaya permainan yang berbeza, jadi, kami memerlukan sedikit masa bagi mendapatkan rentak yang dimahukan, amat penting untuk kami beraksi lebih versatil pada pertandingan akan datang,” katanya di sini, hari ini.

Ketika ditanya lanjut mengenai kecederaan yang menimpa Soon Huat, Shevon berkata, pasangannya itu bergelut dengan banyak kecederaan dan yang terbaharu di bahagian kaki kiri.

“Sebenarnya sejak dua minggu lepas dia bergelut dengan masalah kaki dan perlawanan, hari ini, dia akhirnya dapat beraksi secara normal,” katanya.

Selepas ini, Soon Huat dan Shevon akan mengalih fokus mereka kepada Terbuka Singapura, minggu depan dan diikuti Terbuka Indonesia.

Turut mengikut jejak langkah Khai Xing-Aaron mara ke pusingan kedua, beregu campuran profesional Malaysia, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang menewaskan Supak Jumkoh-Omnicha Jongsathap 22-20, 21-19 dalam masa 41 minit.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa perseorangan wanita, K. Letshanaa yang akur kepada wakil China, Han Qian Xi 21-10, 19-21, 12-21 dalam masa 1 jam 5 minit.

Seorang lagi wakil perseorangan wanita Malaysia, Goh Jin Wei juga menerima nasib serupa setelah dia tumpas di tangan pemain No. 11 dunia, Ratchanok Intanon dari Thailand 7-21, 15-21 dalam masa 39 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN