Shah Firdaus terkilan tak dapat 'pamer kayuhan' di Johor

Shah Firdaus terkilan tak dapat ‘pamer kayuhan’ di Johor

Mohd. Hairi Mad Shah (tengah) bersama dari kiri Shah Firdaus Shahrom, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Mohd Ekmaluddin Ishak; Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Johor, Muhammad Firdaus Daud dan John Beasley di Hard Rock Cafe, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terkilan tidak dapat mengambil bahagian dalam Kejohanan Berbasikal Kebangsaan Trek dan Lebuhraya 2025 di Velodrom Johor, di sini yang bermula hari ini.

Pelumba berbasikal yang mendapat julukan The Terminator itu masih belum pulih sepenuhnya setelah mengalami kecederaan selepas kejohanan di Piala Negara-Negara UCI di Turkiye, Mac lalu.

“Kejohanan Berbasikal Kebangsaan Trek 2025 yang julung kalinya diadakan di Johor ini sepatutnya menjadi medan pemanas badan buat saya yang setelah kembali daripada kecederaan bengkak lutut.

“Namun, disebabkan belum cergas sepenuhnya, saya terpaksa lepaskan peluang ini kepada pelumba lain yang lebih bersedia untuk bertanding,” katanya ketika ditemui di Hard Rock Cafe Iskandar Puteri, di sini.

Pada Mac lalu, Shah Firdaus memenangi pingat emas dalam acara keirin di Piala Negara-Negara UCI di Velodrom Konya di Turkiye.

Pelumba berbasikal kelahiran Johor itu berkata, walaupun belum cergas sepenuhnya, beliau akan menyertai perlumbaan Grand Prix di Jerman dan akan berlepas ke sana pada Isnin depan.

Dalam perlumbaan itu, dia hanya akan bertanding dalam beberapa acara keirin kerana tidak mahu mengambil risiko dan menjejaskan proses pemulihannya.

“Itu terpulang kepada percaturan jurulatih, namun acara pecut individu agak berisiko untuk saya sertai.

“Jika saya berlumba dalam acara keirin sekali pun, mungkin akan guna gear rendah, ini kerana belum bersedia untuk berlumba dengan kekuatan sepenuhnya,” katanya.

Pengarah teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley pula berkata, Kejohanan Berbasikal Kebangsaan Trek dan Lebuhraya 2025 akan menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat muda.

“Saya lihat penganjuran kejohanan ini amat positif sebagai platform pelumba negara ketengahkan potensi mereka, saya harap ada bakat muda yang boleh diketengahkan,” katanya.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah, kejohanan peringkat kebangsaan itu menghimpunkan seramai 300 atlet melibatkan 14 pasukan negeri, tiga pasukan bertaraf benua dan sebuah pasukan jemputan antarabangsa dari Indonesia.

Katanya, sebanyak 11 acara trek dan tiga acara di lebuhraya yang akan dipertandingkan pada kejohanan kali ini, menyaksikan kem Johor sebagai tuan rumah bakal mengetengahkan lebih 50 atlet daripada pelbagai program pembangunan.

“Kejohanan berprestij ini menjadikan Johor sebagai satu-satunya tuan rumah yang menganjurkan dua kejohanan kebangsaan secara serentak.

“Selain menjadikan Negeri Johor sebagai lokasi tumpuan penganjuran sukan strategik, kejohanan ini secara tidak langsung mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026 melalui pendekatan ‘sport-tourism’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN