HOUSTON 3 Mei – Pemain No.1 dunia, Scottie Scheffler menampilkan aksi luar biasa meskipun terpaksa menunggu lebih enam jam akibat ribut sebelum mencatat 63 pukulan tanpa bogey dalam pusingan kedua CJ Cup Byron Nelson, hari ini.
Juara Masters dua kali itu kini mendahului dengan catatan 18 di bawah par (124 pukulan) selepas dua hari permainan di TPC Craig Ranch, McKinney, Texas.
“Rasa sangat baik, saya bermain bagus dua hari ini, sekarang masa untuk rehat dan bersedia untuk esok.
“Ini kejohanan yang cukup bermakna, dan saya suka bila permainan saya mula menunjukkan peningkatan ke arah yang betul,” kata Scheffler.
Scheffler, 28, mencatat permulaan terbaik sepanjang kerjaya PGA Tour beliau serta mencipta rekod baharu 36 lubang di padang itu walaupun terpaksa bermain dalam keadaan fairway yang basah.
Beliau berkata, masa tertangguh selama lebih enam jam itu digunakan untuk berehat dan berbual dengan pemain lain di ruang makan pemain sebelum kembali menyambung permainan dalam keadaan sukar.
Rakan senegara, Sam Stevens (130 pukulan) dan Ricky Castillo (11 di bawah par selepas 14 lubang) merupakan pencabar terdekat, namun Scheffler kekal pemain yang perlu ditewaskan.
“Masih banyak golf perlu dimainkan hujung minggu ini, tetapi jika saya terus fokus dan konsisten, saya yakin peluang kemenangan itu ada,” katanya. – AGENSI