Sargassum rosakkan pemandangan Pantai Florida dan Caribbean

Sargassum rosakkan pemandangan Pantai Florida dan Caribbean

UNAM menubuhkan stesen pemantau untuk menjejak ketibaan rumpai laut sargassum. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKITAR 31 juta tan rumpai laut jenis spesies Sargassum kini menghampiri pantai-pantai di Florida dan sekitar kawasan Caribbean, menimbulkan kebimbangan besar terhadap tahap keselamatan kawasan pantai dan sektor pelancongan di rantau itu.

Sargassum, sejenis rumpai laut berwarna coklat yang terapung dalam kelompok besar, sudah merekodkan saiz pertumbuhan terbesar dalam sejarah walaupun musim pertumbuhannya masih belum berakhir.

Kini, hamparan sargassum itu terbentang luas meliputi lebih 5,500 batu nautika atau kira-kira 8,850 kilometer (km) sepanjang kawasan lautan.

Pakar Institut Oseanografi Harbor Branch, Profesor Brian LaPointe berkata, walaupun rumpai ini secara semula jadi bermanfaat di habitat asalnya di Lautan Atlantik Utara, apabila ia hanyut dan terkumpul dalam jumlah yang besar di pesisir pantai, ia berubah menjadi ancaman alga bloom paling berbahaya.

“Sargassum yang dulunya sumber ekologi penting kini bertukar menjadi beban apabila tumbuhan ini mendarat secara berlebihan. Sejak 2011, kawasan Caribbean, Teluk Mexico dan Florida Selatan mengalami kejadian pendaratan sargassum secara besar-besaran.

RUMPAI sargassum mengelilingi bot-bot yang berlabuh di Marina Dinner Key, Miami, Florida. – AGENSI

“Raksasa laut ini bukan sahaja menjejaskan pemandangan pantai dan pasir putih yang indah, malah turut membawa bau busuk akibat gas beracun yang dilepaskan ketika ia reput di darat, termasuk gas hidrogen sulfida yang berbahaya.

“Ia turut menyebabkan kegatalan kulit kepada perenang menyentuhnya,” katanya kepada CNN.

Jelas LaPointe, masalah ini turut menjejaskan ekonomi pelancongan tempatan kerana rumpai yang berbau dan menyelaputi pantai menakutkan pelancong, khususnya ketika musim percutian puncak.

Tambah beliau, fenomena pertumbuhan luar biasa ini didorong oleh dua faktor utama iaitu kenaikan suhu laut akibat perubahan iklim serta lebihan nitrogen dalam air laut, yang bertindak sebagai baja kepada rumpai laut itu.

Nitrogen ini dipercayai datang dari beberapa sumber termasuk pembakaran bahan api fosil, debu dari Gurun Sahara yang terbang merentasi Atlantik serta baja pertanian.

Baja yang digunakan di kawasan pertanian di sekitar benua Amerika dan Lembah Amazon dihanyutkan ke sungai seperti Mississippi dan Amazon, kemudian mengalir ke lautan membawa nutrien yang mempercepat pertumbuhan sargassum.

Tambahan pula, Lembah Amazon kini mencatatkan paras air terendah dalam sejarah akibat dua tahun kemarau ekstrem, menyebabkan tumbuhan mati dan akhirnya membebaskan lebih banyak bahan organik serta nutrien penuh dengan kepekatan nitrogen dan fosforus ke dalam sungai apabila hujan kembali.

Profesor Universidad Nacional Autónoma de México (UNAM), Christian Appendini berkata, sargassum dilaporkan mula tiba di pantai timur Florida, termasuk di Keys hingga ke Saint Augustine.

“Sargassum menyerap semua logam berat dan bahan pencemar di dalam air.

“Itulah sebabnya rumpai ini menjadi sangat bertoksik kerana semasa hanyut di lautan, ia menyerap semua unsur beracun seperti kadmium, arsenik dan mineral berbahaya lain

“Pihak berkuasa tempatan di sesetengah kawasan terpaksa membersihkan pantai dari pagi hingga petang setiap hari, satu usaha yang memerlukan kos tinggi dan jentera berat.

“Sargassum bukan sahaja menyakitkan mata dan hidung, tetapi juga menyakiti ekonomi dan alam sekitar,” tegas LaPointe.

Fenomena ini menjadi satu lagi bukti jelas bagaimana perubahan iklim dan aktiviti manusia boleh mencetuskan kesan alam sekitar yang besar, bukan sahaja kepada biodiversiti laut, tetapi juga kehidupan dan pendapatan masyarakat setempat.

Para penyelidikan kini giat menjalankan kajian bagi meneroka potensi sargassum untuk dijadikan bahan api bio, batu bata binaan, atau sebagai membran untuk penapisan air, memandangkan sifatnya yang sangat menyerap.

Selain itu, terdapat juga cadangan untuk menangani lebihan sargassum dengan menenggelamkannya ke dasar laut sebagai kaedah penyerapan karbon.

Malah, terdapat minat dalam kalangan penyelidik dan industri untuk menggunakan sargassum sebagai alternatif kepada plastik, punca masalah pencemaran global yang paling kritikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×