MIAMI: Masai Russell menghampiri rekod dunia acara 100 meter berpagar wanita apabila mencatat 12.17 saat di Grand Slam Track di Miami, sekali gus menjadi masa kedua terpantas dalam sejarah, hari ini.
Bintang berusia 24 tahun dari Amerika Syarikat (AS) itu menewaskan rakan senegara Tia Jones (12.19s) dalam perlumbaan berangin kuat, tetapi masih dalam had yang dibenarkan iaitu +2.0 meter per saat (m/s)
Russell dan Jones kini masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam senarai sepanjang zaman, di belakang Tobi Amusan dari Nigeria yang memegang rekod dunia 12.12s sejak 2022.
“Saya sendiri tidak tahu nak kata apa, setiap kali berlari dengan mereka, saya didorong untuk beri yang terbaik,” kata Russell.
Catatan tersebut turut memecahkan rekod kebangsaan AS dan memperbaiki pencapaian terbaik musimnya iaitu 12.62s yang dilakukan di Gainesville, bulan lalu.
Tempat ketiga dimenangi Ackera Nugent dari Jamaica dengan 12.34s manakala bekas pemegang rekod dunia, Keni Harrison di tempat keempat (12.40s).
Dalam acara lain, Agnes Ngetich dari Kenya menang 5,000m wanita dengan 14:25.80s iaitu catatan terbaik dunia musim ini.
Jereem Richards dari Trinidad dan Tobago pula mencatat 19.86s untuk muncul juara 200m lelaki, juga catatan terbaik dunia 2025 setakat ini. – AGENSI