Pertukaran strategi Man-Tee buat ‘DinFei’ hilang arah

Pertukaran strategi Man-Tee buat ‘DinFei’ hilang arah

GOH Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tewas kepada Man Wei Chong-Tee Kai Wun 19-21, 21-7, 21-16 pada aksi suku akhir Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, kelmarin. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertukaran taktikal oleh Man Wei Chong-Tee Kai Wun menjadi titik tolak kekalahan beregu No. 2 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam pertembungan perang saudara di suku akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025, kelmarin.

Beregu pilihan kedua itu dilihat kehilangan arah sebaik set kedua bermula apabila Wei Chong-Kai Wun menukar corak permainan lebih agresif dan konsisten dari gelanggang belakang.

Sze Fei mengakui mereka sudah mencuba yang terbaik, namun kekurangan dari segi kestabilan permainan menjadi punca utama kekalahan.

“Saya rasa kita, kedua-dua beregu dah cuba yang terbaik dan Wei Chong serta Kai Wun beraksi lebih baik daripada kami. Saya rasa begitu.

“Secara keseluruhan, saya bagi penilaian 6 atau 7 daripada 10 kepada persembahan kami di Malaysia Masters ini,” kata Sze Fei kepada pemberita selepas perlawanan, kelmarin.

Pada aksi sengit di Axiata Arena itu, Sze Fei-Nur Izzudin tewas 19-21, 21-7, 21-16 dalam perlawanan yang menyaksikan lawan mereka mempamerkan corak permainan lebih konsisten dan bertenaga.

Dalam pada itu, Izzuddin menganggap perubahan strategi lawan membuatkan mereka lambat menyesuaikan diri, sekali gus menyebabkan jurang mata terlalu besar dalam set kedua.

“Ya, mungkin mereka tukar strategi dari sana (ketika set kedua) kami lambat untuk mengadaptasi perkara itu menyebabkan kami ketinggalan jauh (pada set kedua),” kata Izzuddin.

Bagaimanapun, Izzuddin enggan panik dengan prestasi tidak konsisten mereka dan menegaskan masih yakin untuk kembali berada di tahap terbaik menjelang Terbuka Singapura minggu depan serta Terbuka Indonesia pada 2 hingga 8 Jun ini.

“Kami kena kekalkan keyakinan dan terus percaya pada diri sendiri,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN