Pengadil ‘musnahkan’ peluang Aaron-Khai Xing ke suku akhir

Pengadil ‘musnahkan’ peluang Aaron-Khai Xing ke suku akhir

AARON Tai-Kang Khai Xin tewas kepada beregu Denmark Rasmus Kjaer-Frederick Sogaard 10-21, 26-24, 16-21 pada aksi pusingan kedua Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kisah indah beregu muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai dalam Malaysia Masters 2025 akhirnya terhenti di pusingan kedua, namun berakhir dengan penuh rasa tidak puas hati.

Juara remaja dunia 2024 itu tumpas 10-21, 26-24, 16-21 di tangan pilihan ketujuh dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederick Sogaard dalam aksi penuh drama di Axiata Arena, hari ini.

Titik tolak kekalahan hadir ketika set penentuan apabila mereka ketinggalan 12-14, namun terganggu dengan keputusan kontroversi pengadil (umpire) yang mendakwa bulu tangkis terkena telinga Aaron sebelum keluar gelanggang sekaligus menghadiahkan mata kepada lawan.

Insiden itu turut menyaksikan ketua jurulatih beregu negara, Herry Iman Pierngadi turut meluahkan rasa tidak puas hati dan menyebabkan ada ketegangan seketika bersama umpire selama tiga minit.

Kejadian itu nyata merencatkan momentum permainan pasangan muda negara, sekali gus menyaksikan harapan penyokong untuk menyaksikan mereka menentang senior, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di suku akhir tidak kesampaian.

“Macam tak adil, bola keluar dia cakap masuk, bola tak kena dia cakap kena. Kita kena terima sajalah,” kata Khai Xing dengan nada tidak berpuas hati kepada pemberita selepas perlawanan, hari ini.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Khai Xing-Aaron yang memulakan kempen dari pusingan kelayakan dan berjaya menyingkirkan beberapa pasangan senior sebelum ini, termasuk dari India dan Perancis. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN