Pemain warisan baharu diumumkan awal Jun

Pemain warisan baharu diumumkan awal Jun

KETUA Jurulatih Kebangsaan, Peter Cklamovski bercakap pada sidang akhbar pengumuman senarai nama pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Cape Verde dan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Wisma FAM, kelmarin. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya bakal diperkuatkan beberapa pemain warisan baharu yang berpengkalan di luar negara dan identiti mereka akan didedahkan pada awal bulan depan.

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata, semua pemain warisan berkenaan sudah berada dalam fasa akhir dan hanya menunggu kelulusan daripada kerajaan.

Katanya, pemain-pemain berkenaan adalah orang Malaysia yang ketika ini mencari rezeki dan mengharumkan nama negara di luar negara.

“Saya fikir akan ada pengumuman yang akan dibuat sekitar awal Jun apabila semua proses dokumentasi dimuktamadkan dengan pihak kerajaan. Tapi ia cukup menyakinkan.

“Akan ada peluang besar untuk perkara tersebut (ketibaan pemain warisan baharu) berlaku, kami tidak berada di situasi untuk umumkan itu hari ini tetapi saya boleh jamin itu akan berlaku.

“Apa yang penting, saya perlu tekankan bahawa mereka adalah orang Malaysia, tetapi beraksi di luar negara,” kata Cklamovski.

Sekiranya proses berkenaan berjalan lancar, mereka bakal menyertai dua lagi pemain yang sudah merasai pengalaman berada di kem skuad kebangsaan.

Dua pemain tersebut ialah Hector Hevel dan Gabriel Palmero yang menyertai kem Harimau Malaya buat kali pertama pada Mac lalu untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027.

Kelmarin, seramai 38 pemain dipanggil menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya menjelang aksi berdepan pasukan ke-72 dunia, Cape Verde dalam dua aksi persahabatan terbuka dan tertutup masing-masing pada 29 Mei di Cheras serta 3 Jun di Bukit Jalil.

Kemudian, skuad kendalian Cklamovski membawa misi besar untuk menjinakkan Vietnam bagi aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun depan.

Pada Mac lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menerusi satu kenyataan berkata tujuh pemain warisan akan menyertai pasukan dalam masa terdekat.

“Tujuh lagi pemain Malaysia di luar negara akan menambah kualiti dan membantu pasukan. Apa yang penting, pasukan negara beraksi dalam kejohanan antarabangsa bertaraf tinggi dan dihormati,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN