KOTA BHARU: Seorang wanita yang bekerja di sebuah kilang getah ditahan bagi membantu siasatan kes simbah asid ke atas pemilik spa dan salon sehingga menyebabkan kecederaan parah dalam kejadian di Beris Kubor Besar, Bachok pada Sabtu lalu.
Suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di hadapan sebuah kilang getah di Kuala Krai pada pukul 4 petang.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bachok hari ini untuk mendapatkan perintah reman bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, sebuah kereta jenis Perodua Myvi telefon bimbit dan alat kawalan turut dirampas semasa serbuan tersebut.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang pemilik sebuah spa dan salon kecantikan dilaporkan cedera pada lengan selepas disimbah cecair yang dipercayai asid oleh tiga individu termasuk dua wanita yang tidak dikenali semasa berada di tingkat atas premisnya di Beris Kubur Besar.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, mangsa yang masih memakai telekung selepas menunai solat maghrib berada di dalam kedainya bersama seorang anak.-UTUSAN