PETALING JAYA: Prospek tenaga nuklear sebagai sumber bekalan elektrik bersih dan stabil bagi menggantikan sumber penjanaan bahan api fosil sedang dikaji negara ASEAN dalam usaha menyokong peralihan tenaga serantau.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dalam satu kenyataan berkata, ia susulan hasil Mesyuarat Nuclear Energy Cooperation Sub-Sector Network (NEC-SSN) ke-15 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 28 hingga 30 April di Kuala Lumpur.
“Antara perkara dibincangkan adalah cadangan bidang tumpuan bagi penggubalan strategi dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan melalui sektor Civilian Nuclear Energy (CNE) di bawah ASEAN Plan of Action for Energy Cooperation (APAEC) 2026-2030 dan akan dibentang serta dipertimbangkan semasa ASEAN Senior Officials’ Meeting on Energy (SOME) pada Jun 2025 di Kuching, Sarawak,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan turut memperhalusi senarai potensi aktiviti yang boleh dilaksanakan di bawah sektor CNE, ia akan dijadikan sasaran di bawah APAEC 2026-2030.
Mesyuarat anjuran PETRA dengan pihak ASEAN Centre for Energy (ACE) dipengerusikan Filipina itu membabitkan wakil negara anggota ASEAN secara fizikal dan dalam talian iaitu Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina, Vietnam, Singapura dan Malaysia sebagai tuan rumah serta Timor-Leste sebagai pemerhati.
Selain itu, kementerian itu berkata, perbincangan turut diadakan bersama rakan dialog dan organisasi antarabangsa seperti Korea Nuclear Association; ASEAN Business Council; Integrated Support Center for Nuclear Nonproliferation and Nuclear Security; Japan Atomic Energy Agency dan Global Centre for Nuclear Energy Partnership yang akan membantu ASEAN membangunkan landskap tenaga nuklear di rantau ini.
“Melalui kerjasama serantau ini, Malaysia dan negara anggota ASEAN menunjukkan komitmen untuk mencari penyelesaian jangka panjang terhadap cabaran tenaga, selaras aspirasi Malaysia MADANI dalam membina masa depan lebih mampan dan selamat untuk generasi akan datang,” katanya.-UTUSAN