MPM jalin kerjasama strategik, kukuh dana demi atlet para

MPM jalin kerjasama strategik, kukuh dana demi atlet para

MEGAT D SHAHRIMAN ZAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengambil proaktif dalam memperkukuhkan kedudukan kewangan apabila menjalin kerjasama strategik bersama beberapa syarikat dan yayasan demi manfaat atlet paralimpik negara.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, kerjasama itu bukan sahaja membuka peluang penjanaan dana baharu, malah turut memberi manfaat secara langsung kepada atlet, termasuk daripada aspek peluang pekerjaan.

Antara rakan strategik yang terlibat dalam kerjasama itu ialah G-Mart Sdn. Bhd., Yayasan Pemerkasaan Pendidikan dan Kemahiran, Go Sport Ventures Sdn. Bhd. dan Spacelabs Technology Sdn. Bhd.

“Kita akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini dan salah satunya ialah 30 peratus keuntungan daripada G-Mart yang menjalankan perniagaan insurans. Perkara ini yang kita ingin kembangkan dengan lebih besar selepas ini.

“Kita tidak mahu hanya menerima, tetapi perlu juga mencari dan mempunyai pemikiran perniagaan untuk menjana kewangan. Kita tidak boleh mengharapkan orang sentiasa memberi sebaliknya perlu mencari jalan mendapatkan dana. Dalam masa sebulan dua selepas ini, kita akan tubuhkan satu Yayasan MPM.

“Selain itu, kerjasama dengan rakan strategik kita itu juga akan membawa kebaikan seperti peluang pekerjaan buat atlet yang berada di bawah MPM termasuk bekas atlet yang pernah berbakti kepada negara,” katanya selepas sambutan ulang tahun ke-35 penubuhan MPM di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, MPM turut bekerjasama dengan Pos Malaysia bagi mengeluarkan setem edisi khas sebagai penghargaan kepada atlet paralimpik negara yang pernah memenangi pingat emas di temasya Paralimpik.

“Dalam tempoh dua bulan lagi, kita jangka setem khas ini akan dikeluarkan oleh Pos Malaysia. Mereka memerlukan masa untuk proses pengeluaran edisi khas tersebut dan kita akan maklumkan kemudian sama ada ia dijual atau sekadar dijadikan koleksi kenangan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN