MIAMI: Kehadiran Mick Schumacher di paddock Grand Prix (GP) Miami telah mencetuskan tanda tanya tentang kemungkinan kembalinya dia menyertai saingan Formula Satu (F1) pada tahun depan.
Menurut akhbar Jerman, BILD, Schumacher berada dalam senarai pendek Cadillac untuk musim 2026.
Cadillac akan menjadi pasukan ke-11 dalam F1 bermula tahun depan dan secara rasmi telah melancarkan logo dan penjenamaan mereka semasa acara khas di Miami pada Sabtu lalu.
Pasukan dari Amerika Syarikat (AS) itu masih belum mengumumkan barisan pemandunya untuk tahun depan, dan bos pasukan, Graeme Lowdon, masih menimbangkan pilihan yang sedia ada.
Bekas pemandu Red Bull, Sergio Perez, turut dikaitkan untuk memandu jentera pasukan tersebut.
Sokongan kewangan Perez dan pengaruhnya di AS menjadikannya pilihan menarik buat Cadillac. Tambahan pula, prestasi Yuki Tsunoda dan Liam Lawson bersama Max Verstappen di Red Bull telah mengembalikan reputasi Perez.
Cadillac mempunyai beberapa pilihan berpengalaman lain untuk dipertimbangkan antaranya pemenang 10 perlumbaan F1, Valtteri Bottas, secara terbuka menyatakan hasratnya untuk kembali ke grid serta Zhou Guanyu selepas dia disingkirkan oleh Sauber pada tahun lalu.
Schumacher tidak dapat mencari tempat dalam grid sejak disingkirkan oleh Haas pada penghujung 2022.
Walaupun prestasinya agak baik berbanding Kevin Magnussen, terutamanya dalam perlumbaan, siri kemalangan yang berat menyebabkan Haas memilih pengalaman untuk musim 2023 dan memberikan tempat kepada Nico Hulkenberg.
Sejak meninggalkan grid, Schumacher telah memegang peranan bersama Mercedes dan kini berlumba untuk Alpine dalam Kejohanan Endurance Dunia. – AGENSI