Masih ada peniaga degil jual mercun haram walau polis sudah keluar permit

Masih ada peniaga degil jual mercun haram walau polis sudah keluar permit

AZLI Mohd. Noor ( kiri) mengagihkan lauk percuma pada Program Agihan Lauk Ramadan Percuma di Gong Badak, Kuala Nerus , Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Polis menahan 22 peniaga dan merampas pelbagai jenis mercun serta bunga api bernilai kira-kira RM15,000 dalam operasi di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sepanjang Ramadan ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, semua peniaga berusia antara 22 tahun hingga 59 tahun itu ditahan kerana dipercayai menjual mercun dan bunga api tanpa permit.

Katanya, polis sudah mengeluarkan sebanyak 215 permit menjual mercun dan bunga api bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, namun masih terdapat segelintir peniaga yang mengambil kesempatan menjalankan perniagaan secara haram.

“Daripada jumlah itu, ada yang telah didakwa dan akan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika ditemui pada Program Agihan Lauk Ramadan di Gong Badak, di sini.

Pada program itu, sebanyak 1,000 pek juadah berbuka puasa diagihkan secara percuma kepada pengguna jalan raya dengan kerjasama sebuah restoran.

Azli turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membakar mercun secara sewenang-wenangnya di tempat awam khususnya di sekitar Jambatan Angkat, Pantai Seberang Takir dan Batu Buruk.

Katanya, tindakan tegas boleh diambil mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan terhadap perbuatan yang mendatangkan gangguan, bahaya atau kesusahan kepada orang ramai.

“Tindakan  boleh dikenakan di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan terhadap perbuatan cuai atau melulu dalam mengendalikan bahan letupan sehingga membahayakan nyawa orang awam.

“Susulan aduan orang ramai, saya mengarahkan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) supaya meningkatkan kawalan serta pemantauan di lokasi yang dikenal pasti,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×