PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihaknya bersubahat atau melindungi ahli perniagaan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman dalam kes pelaburan yang didakwa menipu pelabur.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tuduhan tersebut tidak berasas kerana MHO hanya berperanan sebagai perantara membantu mangsa mendapatkan semula wang pelaburan mereka melalui kaedah alternatif.
“Kami tidak pernah kata Mahadi tidak bersalah dan kami juga tidak pernah mengesahkan dia bukan penipu pelaburan (scammer). Sidang akhbar yang diadakan tempoh hari tidak bermaksud kami menyokong beliau.
“Malah, Mahadi sendiri telah membuat laporan polis bahawa dia mengalami kerugian sebanyak RM20.7 juta. Jika laporan itu palsu, sudah tentu beliau boleh didakwa dan dipenjara,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas satu hantaran di Facebook bertajuk ‘Pakatan Sulit MHO dan Mahadi’ yang mendakwa pertubuhan itu berpakat dengan Mahadi untuk menutup kes berkenaan.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, beliau secara peribadi mengakui bahawa Mahadi mungkin melakukan kesalahan apabila mempromosikan satu skim pelaburan yang tidak berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun katanya, kehadiran Mahadi dalam sidang akhbar MHO adalah atas persetujuan pengadu dan ejen yang turut terbabit dalam skim pelaburan tersebut.
“MHO hanya bertindak selepas mangsa tampil membawa dokumen dan bukti. Kami tidak pernah mendakwa Mahadi itu ‘bersih’.
“Saya sendiri pernah bertanya kepada beliau, tak rasa bersalah ke bila lihat ramai yang menangis dan kecewa? Dia menjawab dia rasa bersalah,” katanya.
Tambahnya, Mahadi juga tidak boleh lepas tangan kerana turut bertanggungjawab dalam mempromosikan pelaburan berkenaan.
Mengulas mengenai yuran yang dikenakan kepada pengadu, Hishamuddin menjelaskan caj tersebut adalah bagi menampung kos guaman, aktivis dan tenaga kerja yang membantu dalam kes tersebut.
“Malah, Mahadi sendiri membayar RM2,500 kepada MHO untuk mendapatkan bantuan kami. Ia bukan sogokan kerana semua pembayaran disertakan dengan dokumen rasmi,” katanya. – UTUSAN