PUTRAJAYA: DAP kesal dengan tindakan beberapa pemimpin politik MCA yang dilihat cuba memporak-perandakan pentadbiran Kerajaan Madani ketika ini.
Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming berkata, sejak hari pertama sebagai rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan, MCA dilihat sentiasa cuba menjatuhkan imej kerajaan.
“Kini (hari ini) saya nampak cara mereka adalah mahu menjatuhkan imej kerajaan (Kerajaan Madani) agar MCA dapat keluar dan masuk Perikatan Nasional (PN). Itu pendapat saya.
“Itu ada udang di sebalik batu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pra Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) dan Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia) 2025, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan tindakan beberapa pemimpin politik MCA yang cuba mempolitikkan dan menyebarkan berita palsu mengenai program MyKiosk yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, MCA sepatutnya membantu kerajaan kerana mereka sebahagian daripada komponen parti dalam kerajaan pada hari ini.
Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, MCA sentiasa dilihat cuba mengutuk kerajaan supaya ia dapat membuka ruang dan peluang untuk mencari dalih dan alasan demi kepentingan sempit mereka.
Sebelum ini, beberapa pemimpin-pemimpin MCA mengkritik program MyKiosk yang dicetuskan KPKT kerana disifatkan membazir dan tidak praktikal.
Sebelum ini juga, Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low turut menjemput Pemuda DAP untuk bersama-sama membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai isu MyKiosk bagi memastikan kepentingan rakyat terus dijaga.
“Rakyat berhak tahu akan proses bidaan projek ini, sama ada ia tender terbuka atau tidak, kos sebenar, pemilihan lokasi dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN