PETALING JAYA: Lagenda Manchester United, Ryan Giggs mengakui kualiti liga di rantau ASEAN termasuk Liga Malaysia (Liga M) perlu lebih berdaya saing agar dapat menarik minat penyokong bola sepak tempatan.
Giggs yang beraksi bersama United dari 1990 hingga 2014 mengambil contoh Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak beberapa tahun kebelakangan ini sentiasa menarik untuk diikuti kerana saingannya berkompetitif tinggi dan bersifat terbuka.
“Kualitinya sangat tinggi berbanding sebelum ini yang mungkin hanya membabitkan dua atau tiga pasukan tetapi sekarang ada 10 pasukan (bersaing untuk kejuaraan EPL).
“Selain daripada itu, untuk musim ini, tiga atau empat kelab tercorot turut bersaing sesama sendiri (elak daripada zon penyingkiran). Jadi, itulah yang anda perlukan dalam liga domestik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Giggs turut berkata prestasi skuad kebangsaan dalam mana-mana kejohanan di pentas antarabangsa turut menjadi faktor utama yang dapat menarik penyokong tempatan untuk mengikuti liga domestik.
Katanya lagi, saingan kompetitif liga boleh diperolehi hasil campuran pemain import dan tempatan yang turut memberi nilai tambah kepada sesebuah liga.
“Saya rasa sangat membantu kerana pemain luar negara datang anda boleh belajar perkara berlainan daripada mereka dan import boleh belajar daripada pemain tempatan seperti apakah maknanya mewakili sesebuah pasukan tertentu,” katanya.
Giggs hadir bersempena perlawanan United menentang ASEAN ALL-Star yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 28 Mei ini turut mengakui ia merupakan aksi menarik untuk disaksikan oleh penyokong setia Red Devils.
“Menonton perlawanan secara langsung adalah lebih baik kerana anda dapat saksikan pemain kegemaran anda beraksi di atas padang dan tengok sendiri apa yang dia lakukan berbanding melihatnya menerusi televisyen,” katanya. – UTUSAN