Ledecky cipta kepulangan sensasi

Ledecky cipta kepulangan sensasi

KATIE LEDECKY - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FORT LAUDERDALE: Pemenang sembilan kali pingat emas Olimpik, Katie Ledecky membuat kemunculan semula dengan mengagumkan di kolam renang apabila mencatat masa kedua terpantas dalam sejarah acara 1,500 meter (m) gaya bebas ketika saringan di kejohanan TYR Pro Series di Florida.

Bintang Amerika Syarikat (AS) berusia 28 tahun itu yang tidak bertanding dalam acara elit sejak Sukan Olimpik Paris 2024, menyentuh dinding kolam di Fort Lauderdale dengan catatan masa 15 minit 24.51 saat (s).

Masa itu hanya sedikit di luar rekod dunianya sendiri iaitu 15:20.48s yang dicatatkan di Indianapolis pada 2018 dan sekitar 39.62s lebih pantas daripada pesaing terdekatnya, Jillian Cox.

“Saya sangat teruja. Saya telah berlatih dengan baik dan berasa baik menjelang kejohanan ini, tetapi anda tidak pernah tahu.

“Ia bukanlah kejohanan terbesar tahun ini atau apa-apa, saya hanya mahu catatan masa saya menjadi yang terbaik musim ini, iaitu sekitar 15:36s. Saya benar-benar gembira,” katanya.

Ledecky kini memiliki 22 catatan masa terpantas sepanjang zaman dalam acara 1,500 m gaya bebas dan tidak pernah ditewaskan dalam acara tersebut sejak kekalahan terakhirnya di Maryland pada 2010 ketika dia berusia 13 tahun.

Ledecky, yang memenangi pingat emas Olimpik pertamanya di Sukan London 2012, telah pun menyatakan hasratnya untuk meneruskan kerjaya sehingga Sukan Olimpik Los Angeles pada 2028.

Catatan masanya kelmarin adalah sekitar lima saat lebih pantas berbanding masa kemenangannya dalam final 1,500 m di Paris pada Ogos lalu.

“Saya tidak rasa saya hampir menamatkan karier dalam sukan ini,” kata Ledecky mengenai rancangan masa depannya selepas kemenangannya di Paris tahun lalu.

“Saya rasa semua atlet AS sedang membayangkan betapa hebatnya jika dapat bertanding di Los Angeles dengan sokongan penonton tuan rumah. Jadi, ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa untuk dapat bersaing di sana,” katanya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya