Lanjutan tarikh akhir lesen beri kesan negatif

Lanjutan tarikh akhir lesen beri kesan negatif

Penang FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Penang FC melahirkan rasa bimbang terhadap kesan negatif yang timbul susulan lanjutan tarikh akhir pelesenan kelab oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sehingga 10 Mei ini.

Penang FC dalam satu kenyataan berkata, antara kesan itu ialah kelab yang menghadapi masalah kewangan boleh menangguhkan langkah-langkah penstrukturan atau penyelesaian masalah yang sepatutnya diambil dengan segera sekali gus menjadikan isu kewangan berlarutan dan lebih serius sehingga menjejaskan kelangsungan operasi kelab itu sendiri.

Katanya, keadaan ini juga boleh memberikan kesan negatif kepada pemain, pegawai, dan pihak berkepentingan lain seperti penaja serta penyokong yang mengharapkan kestabilan dan kebertanggungjawaban daripada pengurusan kelab.

Pada masa yang sama, lanjutan tarikh akhir yang diberikan memberi kesan yang negatif kepada kelab-kelab yang telah bertungkus-lumus dan mengerah kudrat dalam memastikan tarikh akhir bagi memuat naik dokumen pelesenan kelab untuk kitaran 2024–2025 dipatuhi.

“Lanjutan tarikh akhir ini tanpa memberikan apa-apa insentif kepada kelab-kelab yang telah mematuhi tarikh akhir merupakan tamparan hebat yang memberikan persepsi bahawa komitmen kami tidak dihargai.

“Perlu dititikberatkan bahawa dengan keadaan semasa yang penuh dengan onak dan duri dalam mencari dana untuk memastikan kelestarian perjalanan kelab-kelab, MFL hendaklah menghargai kelab-kelab yang telah mematuhi tarikh akhir tanpa gagal,” katanya.

Penang FC berpandangan, apabila kelab yang tidak memenuhi keperluan kewangan dan pentadbiran tetap dibenarkan untuk bertanding dalam liga, ini akan mencetuskan ketidakseimbangan dalam persaingan.

“Kelab-kelab yang telah berusaha dengan teliti untuk menepati segala syarat pelesenan secara sah dan tepat pada masanya mungkin akan terjejas atau berada dalam kedudukan yang tidak adil sekaligus menjejaskan kredibiliti liga secara keseluruhan dan memberi persepsi bahawa pematuhan bukanlah satu keutamaan dalam pengurusan bola sepak profesional di negara ini.

“Jadi, memberikan tempoh lanjutan secara kerap boleh mewujudkan satu budaya di mana pematuhan terhadap peraturan dianggap tidak penting atau boleh dikompromi,” katanya yang memberitahu, keadaan ini merendahkan piawaian industri bola sepak tempatan dan boleh menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.

Tambah Penang FC, sekiranya perkara tersebut tidak dikawal, ia dibimbangi menyukarkan usaha ke arah memperkukuh tadbir urus dan profesionalisme dalam pengurusan kelab bola sepak.

“Dalam hal ini, Kami di Penang FC kekal teguh dengan prinsip integriti, ketelusan dan profesionalisme dalam setiap aspek pengurusan kelab.

“Justeru, kami dengan rendah diri memohon supaya kelab-kelab yang telah bertungkus-lumus dan mengerah kudrat dalam memastikan tarikh akhir bagi memuat naik dokumen pelesenan kelab untuk kitaran 2024–2025 dihargai oleh MFL,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya