Kuota haji negara mungkin terjejas

Kuota haji negara mungkin terjejas

MOHD. Na'im Mokhtar pada Majlis Perasmian Pavilion Al-Falah dan Pelancaran Buku Baharu Agensi Pengurusan Hal Ehwal Agama sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini. Turut serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dr Zulkifli Hasan (kiri). - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kuota haji Malaysia berisiko terjejas susulan insiden 63 rakyat negara ini yang diusir oleh pihak berkuasa Arab Saudi selepas dikesan memasuki negara itu menggunakan visa palsu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Na’im Mokhtar berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menyalahi undang-undang Arab Saudi, malah boleh memberi kesan besar terhadap peluang jemaah Malaysia lain untuk menunaikan ibadah haji pada masa akan datang.

“Kalau Arab Saudi pandang serius isu ini, ia boleh jejaskan kuota negara kita. Kita tidak mahu perbuatan segelintir ini menyebabkan negara kita dikenakan sekatan seperti yang pernah berlaku kepada 14 negara lain sebelum ini.

“Jadi saya sangat berharap rakyat Malaysia patuh kepada peraturan, jangan langgar syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Pavilion Al-Falah dan Pelancaran Buku Baharu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) di sini.

Menurut Naim, Lembaga Tabung Haji (TH) setakat ini masih belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan pengusiran 63 rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Arab Saudi ekoran tidak memiliki visa haji yang sah.

“Pihak kita telah mendapatkan maklumat daripada Ketua Jabatan Haji Tabung Haji, Mohd. Hisham Harun yang kini berada di tanah suci bagi menyelia operasi pengurusan jemaah haji Malaysia.

“Berdasarkan maklumat semasa daripada pasukan Tabung Haji di Mekah, tiada sebarang aduan rasmi diterima daripada mana-mana pihak berkaitan kes berkenaan, termasuk daripada mereka yang didakwa diusir atau ahli keluarga terlibat,” katanya.

Mengulas lanjut, Na’im berkata, sekiranya ditahan kerana melanggar peraturan berkenaan, mereka boleh dikenakan denda antara 10,000 hingga 50,000 Riyal Saudi (anggaran RM22,000 hingga RM113,000), selain diusir serta disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.

Pada 25 Mei lalu, media tempatan dan antarabangsa melaporkan bahawa seramai 63 rakyat Malaysia telah diusir dari Mekah ke Jeddah selepas didapati tidak memiliki visa haji yang sah.

Jumlah itu direkodkan oleh pejabat perwakilan Malaysia di Arab Saudi sejak 29 April lalu hingga Jumaat lalu.

Difahamkan, kebanyakan daripada mereka berada di Mekah menggunakan visa pelancong atau visa lain yang tidak membenarkan mereka melakukan ibadah haji, sekali gus melanggar peraturan ketat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi menjelang musim haji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN