Kerajaan Selangor mohon 10 peratus tanah PTP untuk perkuburan Islam

Kerajaan Selangor mohon 10 peratus tanah PTP untuk perkuburan Islam

AMIRUDIN Shari menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Guru dan Perguruan kepada Prof. Datuk Dr. Mujaini Tarimin pada Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor Tahun 2025 di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memohon 10 peratus daripada kawasan tanah perkuburan Islam di Hulu Semenyih yang dimiliki Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dibuka kepada penduduk tempatan yang berhasrat dikebumikan di kawasan tersebut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha tersebut diharap dapat menyelesaikan isu pengurusan tanah perkuburan di bawah pentadbiran Persekutuan tetapi berhampiran kawasan kediaman rakyat di negeri ini.

Menurutnya,perkara itu juga telah dibincangkan dalam satu pertemuan beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa semalam.

“Kita perlu selesaikan urusan pengurusan kawasan perkuburan itu terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, langkah itu juga diharap dapat membantu mengurangkan tekanan dan kesesakan di tanah-tanah perkuburan lain yang sedia ada terutama di kawasan yang mengalami kepadatan penduduk tinggi.

“Walaupun kawasan tersebut adalah tanah milik PTP, kami mohon agar sedikit ruang diberikan kepada penduduk tempatan, demi kemudahan mereka dan pihak berkenaan memberikan maklum balas positif terhadap cadangan ini.

“Selain itu pihak kerajaan negeri turut memohon dua kawasan perkuburan Islam dan bukan Islam (berhampiran) dikendalikan dengan baik serta lebih teratur.

“Kawasan perkuburan Islam akan diuruskan oleh JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan), manakala kawasan bukan Islam akan diselaraskan pentadbirannya agar memenuhi keperluan komuniti,”ujarnya.

Terdahulu, Zaliha memaklumkan, pembukaan tanah perkuburan Islam di Hulu Semenyih, Selangor mampu menampung keperluan jenazah masyarakat Islam di Kuala Lumpur selama 28 tahun.

Beliau memaklumkan, penggunaan tanah perkuburan Islam sedia ada di Kuala Lumpur telah mencapai kadar lebih 70 peratus setakat ini.

Pada Ogos tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata jenazah masyarakat Islam di Kuala Lumpur bakal dikebumikan di kawasan tanah perkuburan baharu yang diwartakan kerajaan di Semenyih.

Mohd Na’im berkata, tapak baharu dengan keluasan hampir 90 hektar itu bakal diuruskan sepenuhnya oleh JAWI memandangkan tanah kubur di ibu kota dijangka bertahan hingga enam tahun sebelum semua lot penuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN