PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tadbir urus yang cekap dan berintegriti, khususnya dalam aspek pengurusan, kewangan dan pentadbiran perlu dijadikan komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu termasuk soal keselamatan dan kesihatan rakyat dalam pelaksanaan projek yang melibatkan perolehan peralatan dan perkhidmatan.
“Kita perlu menerapkan pendekatan berhikmah dan berfikir di luar kotak agar penjimatan yang dicapai dapat disalurkan kepada keperluan lain yang lebih mendesak, terutamanya dalam bidang kesihatan awam dan pendidikan,” katanya menerui akaun Facebook miliknya hari ini.
Terdahlu Perdana Menteri tiba di Johor pagi tadi termasuk bertujuan menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor di Kota Iskandar bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan pimpinan negeri dan Persekutuan.
“Kerajaan negeri turut membentangkan projek pembangunan yang menjadi keutamaan di Johor, termasuk isu bekalan air mentah, sistem akses di CIQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, pengoperasian Hospital Pasir Gudang, hal ehwal tanah serta beberapa projek prapelaksanaan yang sedang dirancang,” katanya.
Anwar dalam pada itu turut menghargai taklimat Menteri Besar berkenaan kemajuan pelaburan luar, khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
“Alhamdulillah, inisiatif antara dua negara ini telah berjaya menarik minat dan keyakinan tinggi dalam kalangan pelabur r di Johor.
“Kerajaan Persekutuan akan terus menyokong usaha memastikan infrastruktur dan kemudahan berada pada tahap tertinggi, demi memperkukuh keyakinan pelabur serta memastikan kejayaan menyeluruh JS-SEZ sebagai pemangkin pertumbuhan baharu Johor,” katanya.