Kehadiran Man. United di Malaysia lonjak ekonomi, pelancongan

Kehadiran Man. United di Malaysia lonjak ekonomi, pelancongan

PENYOKONG Manchester United dari seluruh negara Asia Tenggara tidak melepaskan peluang hadir menyaksikan pasukan kegemaran mereka di depan mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kehadiran lebih 32,000 pelancong antarabangsa bagi menyaksikan perlawanan Piala Cabaran Malaysia 2025 antara Manchester United dan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin bukan sahaja sekadar menonton aksi bola sepak, malah turut melonjakkan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

Perlawanan itu mencatat kehadiran 72,550 penonton, sekali gus menyaksikan hotel sekitar ibu negara penuh ditempah, pusat beli-belah sesak dengan penyokong berbaju merah dan pengangkutan awam beroperasi pada kapasiti maksimum.

Restoran, pusat beli-belah dan kawasan tumpuan pelancong di seluruh Kuala Lumpur turut menikmati limpahan ekonomi hasil kehadiran kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu, yang tumpas mengejut 0-1 kepada ASEAN All-Stars hasil jaringan pemain Myanmar, Maung Maung Lwin pada minit ke-71.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir menyaksikan perlawanan dan menyampaikan trofi serta pingat kemenangan kepada pasukan Asean All-Stars.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, barisan menteri Kabinet, kenamaan ASEAN serta ahli keluarga diraja.

Sorakan gemuruh menggegarkan stadium, manakala suasana bandar raya bertukar wajah sejak beberapa hari lalu, penuh dengan penyokong dari Jakarta, Hanoi, Bangkok, Manila dan seluruh rantau Asia Tenggara yang bersatu di bawah panji bola sepak.

Pasukan ASEAN All-Stars dibimbing jurulatih Korea Selatan, Kim Sang-sik, dengan penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Sergio Aguero mengetuai pasukan yang turut dibarisi pemain dari Australia.

Sementara itu, Manchester United turun dengan barisan bintang termasuk Andre Onana, Harry Maguire, Rasmus Hojlund, Casemiro, Diogo Dalot dan Bruno Fernandes di bawah kendalian pengendali, Ruben Amorim.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ProEvents, Julian Kam berkata, sambutan luar biasa membuktikan potensi besar rantau ini menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa.

“Ini bukan sekadar perlawanan, tapi permulaan kepada sesuatu yang lebih besar untuk bola sepak Asia Tenggara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Polis Diraja Malaysia, Imigresen dan semua agensi kerajaan atas kerjasama menjayakan acara bersejarah ini.

Piala Cabaran 2025 kini dianggap membuka lembaran baharu buat bola sepak Asia Tenggara bukan sahaja dari aspek sukan, tetapi sebagai pemacu pelancongan, pemangkin ekonomi dan simbol perpaduan serantau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN