KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri melakar kejutan ke atas pasangan No. 14 dunia, Kitinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-15, 21-18 pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil dekat sini, hari ini.
Gandingan ke-41 dunia yang terpaksa berdepan kemerosotan ranking gara-gara kecederaan otot paha menimpa Haikal sejak Disember lalu menewaskan pasangan Thailand itu dalam masa 40 minit.
Pada pusingan kedua, Hon Jian-Haikal bakal berdepan beregu yang menghuni ranking ke-20 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi selepas wakil Jepun itu menundukkan Huang Di-Liu Yang dari China 19-21, 22-20, 21-15.
Haikal ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir berkata, dia berasa sebak dan puas akhirnya berjaya mengukir kemenangan selepas ditimpa kekalahan dalam dua kejohanan terdahulu di Taiwan dan Thailand.
“Saya rasa kami bermain lebih konsisten berbanding di Taiwan dan Thailand, saya dapat rasakan kami mula kembali mendapat rentak selepas lama berehat akibat kecederaan.
“Saya memang dapat berasakan perbezaan kerana sebelum ini saya tidak cukup cergas dan selepas menang tadi saya rasa nak menangis sebab terharu kerana akhirnya berjaya melepasi pusingan pertama,” katanya.
Kata Haikal, beraksi di laman sendiri memberi kelebihan kepadanya dan Hon Jian kerana penyokong banyak membantu membakar semangat mereka berdua untuk terus berjuang pada perlawanan itu.
“Semasa di Taiwan dan Thailand saya berasa sangat teruk, sejujurnya saya tak kisah apa nak jadi menang atau kalah kerana yang penting kami dapat beri yang terbaik dan saya puas hati,” kata pemain berusia 22 tahun itu.
Mengulas mengenai pertemuan dengan Hoki-Kobayashi pada pusingan kedua, Haikal berkata, dia dan Hon Jian bersedia bertemu beregu handalan Jepun itu dan kemenangan ke atas Kedren-Dechapol memberi keyakinan kepada mereka berdua untuk mempamerkan persembahan yang lebih baik.
Turut mengiringi Hon Jian-Haikal ke pusingan kedua, beregu No. 8 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang diberi tentangan sengit sebelum menang ke atas Pruthvi Krishnamurthy-Roy Sai Pratheek.K dari India 21-15, 23-21 dalam masa 42 minit.
Beregu profesional Malaysia, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong juga melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Taiwan, Chiang Chien Wei-Wu Hsuan Yi 21-14, 21-16 dalam masa 31 minit.
Bagaimanapun, nasib berbeza mengiringi tiga lagi beregu Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Chia Weijie-Lwi Sheng Hao dan Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong yang tumpas kepada lawan masing-masing di pusingan pertama. – UTUSAN