PETALING JAYA: Aksi persahabatan di dalam negara menjadi antara pilihan skuad Harimau Malaya sebelum berdepan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun depan.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, persiapan rapi amat diperlukan bagi memastikan skuad Harimau Malaya dapat tampil dengan aksi lebih kemas berdepan Vietnam.
Katanya, barisan kejurulatihan diketui Peter Cklamovksi akan menentukan pasukan lawan pada perlawanan persahabatan itu yang dilihat bersesuaian untuk meningkatkan lagi kualiti permainan pasukan kebangsaan.
“Alhamdulillah, sebelum ini kita mengadakan latihan di Johor dan merekodkan kemenangan menentang Nepal.
“Selepas ini, kita akan buat persiapan bertemu Vietnam dengan perlawanan persahabatan antara perkara yang dirancang sebelum menentang pasukan itu.
“Setakat ini, kita belum lagi kenal pasti pasukan untuk perlawanan persahabatan itu dan kita akan bermain di sini (Malaysia),” katanya.
Aksi penting berdepan Vietnam bakal memberikan cabaran buat Cklamovski memandangkan persiapan skuad negara akan dijalankan ketika saingan domestik sedang berehat.
Ketika ini, Malaysia dan Vietnam masing-masing menghimpun tiga mata, namun Vietnam mendahului Kumpulan F menerusi perbezaan jaringan.
Format kali ini menyaksikan hanya juara setiap kumpulan pada pusingan kelayakan ini akan mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.-UTUSAN