Hakim Danish raih podium pertama di Litar Estoril

Hakim Danish raih podium pertama di Litar Estoril

Hakim Danish muncul selaku naib juara dalam perlumbaan pembukaan musim pada Kejohanan Dunia FIM JuniorGP di Litar Estoril, Portugal, hari ini. - FB FIM JuniorG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli terus cemerlang di pentas Eropah apabila dia mencatat podium pertamanya pada Kejohanan Dunia FIM JuniorGP di Litar Estoril, Portugal, hari ini.

Anak muda berusia 17 tahun itu mencatat masa 27 minit 52.976 saat (s) untuk muncul naib juara dalam perlumbaan 16 pusingan tersebut.

Pencabar terdekat Hakim Danish, Brian Uriarte dari Sepanyol mengungguli perlumbaan pembukaan musim itu selepas melakar masa terpantas 27:45.045s.

Penunggang Scotland, Rico Salmela pula terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga dengan catatan masa 27:55.448s, selepas dia bersaing sengit dengan Hakim Danish sepanjang perlumbaan tersebut.

Saingan pusingan pertama itu menyaksikan Hakim Danish yang bernaung di bawah pasukan SIC Racing MSI mengutip 20 mata, manakala, Uriarte mengumpul 25 mata selaku pendahulu dan Salmela dengan 16 mata.

Musim 2025 merupakan penampilan kedua Hakim Danish di dalam JuniorGP yang menyajikan persaingan berbeza berbanding Piala RedBull MotoGP Rookies.

Perlumbaan bagi JuniorGP menggunakan jentera jenama berbeza mengikut pasukan masing-masing yang lebih mirip kepada persaingan Moto3 di dalam Kejohanan Motosikal Dunia.

Aksi bagi Piala RedBull MotoGP Rookies pula menyajikan persaingan setara kerana kesemua pelumba menggunakan motosikal sama iaitu KTM.

Pusingan kedua akan berlangsung di Litar Jerez pada 1 Jun ini, namun, Hakim Danish yang berdepan jadual padat terlebih dahulu perlu mempersiapkan dirinya untuk pusingan kedua Piala RedBull MotoGP Rookies di Litar Le Mans, Perancis pada 10-11 Mei ini.

Untuk makluman, anak jati Kuala Terengganu itu kini berada di kedudukan pendahulu selepas mengumpul 40 mata di dalam perlumbaan Piala RedBull MotoGP Rookies. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya