Hakim Danish perlu kekal konsisten di Le Mans

Hakim Danish perlu kekal konsisten di Le Mans

Hakim Danish.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjelang aksi di Le Mans, Perancis, Hakim Danish Ramli perlu membuktikan dirinya mampu beraksi konsisten dengan keputusan podium sekali lagi menjadi buruan pelumba muda itu bagi mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Piala RedBull MotoGP Rookies, musim ini.

Anak jati Kuala Terengganu itu yang kini mengumpul 40 mata untuk berada di kedudukan pendahulu senarai keseluruhan pelumba, turut memburu tiket ‘wildcard’ bagi membolehkannya melakukan penampilan sulung pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia, hujung tahun ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan SIC Racing, tahun 2025 menjadi detik penting dalam kerjaya pelumba muda negara itu bagi membuka laluannya ke Moto3 sebagai pelumba tetap pada musim depan.

“Dengan sasaran tinggi daripada SIC Racing yang diketuai oleh Zulfahmi Khairuddin, prestasi Hakim Danish dalam kejohanan Piala Redbull MotoGP Rookies dan Kejohanan Dunia FIM JuniorGP akan memainkan peranan besar dalam menentukan masa depannya, termasuk peluang ‘wildcard’ ke GP Malaysia pada Oktober ini,” kata kenyataan itu, semalam.

SIC Racing dalam kenyataan tersebut berkata, sekiranya keputusan kurang memberangsangkan, ia boleh menjejaskan potensi penyertaan Hakim Danish bagi tiket ‘wildcard’ GP Malaysia dan juga Kejohanan Dunia dalam kelas Moto3 pada tahun hadapan ekoran kekangan dana yang dihadapi pasukan.

Sebelum ini, Zulfahmi pernah mendedahkan bahawa Hakim Danish beraksi pada Piala RedBull MotoGP Rookies dan JuniorGP, musim ini, dalam keadaan peruntukan kewangan yang serba kekurangan.

“Tahun ini tiada krew Malaysia atau mekanik dari Malaysia yang ikut Hakim Danish ke Eropah semuanya akan dibantu krew kita yang ada di sana,” kata Zulfahmi.

Namun begitu, pelumba berusia 17 tahun itu yang amat memahami situasi tersebut kelihatan bekerja keras apabila dia mempamerkan prestasi cemerlang sejak musim 2025 membuka tirai, baik di dalam Piala RedBull MotoGP Rookies mahupun JuniorGP.

Hakim Danish setakat ini membuktikan kariernya layak diberi sokongan sewajarnya selepas dia mencatat keputusan podium dalam kesemua tiga perlumbaan di Sepanyol dan Portugal.

Perlumbaan hujung minggu ini bersempena GP Motosikal Perancis di Le Mans, Hakim Danish sekali lagi memburu keputusan podium dan sekali gus, membuktikan kepada syarikat korporat di luar sama bahawa dia merupakan aset Malaysia yang wajar diberikan perhatian.

Dalam perlumbaan pembukaan musim di Litar Jerez, dua minggu lalu, Hakim Danish muncul sebagai naib juara di dalam perlumbaan 1 dan 2, begitu juga kedudukan sama dikekalkannya dalam saingan JuniorGP.

Litar Le Mans sepanjang 4.19 kilometer itu memiliki 14 selekoh iaitu sembilan selekoh kanan dan lima selekoh kiri yang dijangka menguji tahap kemahiran serta ketahanan fizikal Hakim Danish. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN