KUALA LUMPUR: Pelari muda Sukma Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee mencipta sensasi apabila memintas dua pelari kebangsaan termasuk juara Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan untuk menjuarai acara 100 meter (m) lelaki di Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur 2025 di Stadium Merdeka, hari ini.
Atlet berusia 18 tahun itu mempamerkan larian bertenaga untuk menamatkan perlumbaan dengan masa 10.57 saat (s), sekali gus mengatasi Jonathan Nyepa (10.66s) ditempat kedua dan Khairul di carta keempat dengan masa 10.743s.
Menurutnya, dia hanya berlari mengikut kemampuan sebenar dan catatan itu adalah yang terbaik untuk musim ini dan menjadi petanda positif untuk aksi-aksi seterusnya tahun ini.
“Saya buat yang terbaik kerana ini adalah catatan terpantas dan saya sudah melakukan yang terbaik. Ini adalah musim terbaik saya.
“Alhamdulillah, saya sangat puas hati. Tapi insya-Allah saya akan cuba buat lebih baik,” kata Danish
Dalam pada itu, Danish menyifatkan saingan kali ini cukup sengit, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan tiga nama besar pecut negara.
“Abang Zulfikar, Abang Khairul dan Jonathan mereka semua beri saingan sengit. Saya sangat hargai persaingan itu,” katanya.
Sementara itu bagi acara reben biru wanita menyaksikan Zaidatul Husniah Zulkifli bangga dengan kejuaraannya apabila mencatat masa yang mengagumkan biarpun berdepan saingan sengit.
Zaidatul mencatat masa 11.72 (s) dalam perlumbaan akhir sekali gus muncul juara dengan catatan terbaik setakat ini bagi permulaan musim.
“Saya sangat bersyukur dengan catatan 11.72s, bagi saya itu sudah cukup menggembirakan kerana ia merupakan rekod terbaik saya untuk permulaan musim ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas perlumbaan.
Tempat kedua menyaksikan Nur Aishah Rofina Aling dari Kesatuan Olahraga Sabah dengan catatan 11.80s manakala carta ketiga menjadi milik Azreen Nabila Alias dari pasukan kebangsaan 11.83s. – UTUSAN