PETALING JAYA: Peter Cklamovski mahu memastikan kemarau 11 tahun tanpa kemenangan ke atas Vietnam dipadamkan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun depan.
Pengendali Harimau Malaya itu berkata, persiapan rapi diperlukan bagi merealisasikan impian tersebut biarpun bakal berdepan pelbagai halangan termasuk pemain berada dalam ‘mood’ berehat selepas Liga Malaysia berakhir.
“Kita sudah lama tidak menang dengan Vietnam. Itu (rekod tanpa menang) memberi kita motivasi untuk mengejar kejayaan, ia beri semangat untuk kita mengubah sejarah tapi kita kena terima realiti dan perlu rendah diri serta sedar dari mana kita bermula.
“Ya kita boleh kalahkan mereka dan kita mesti cuba tapi dalam 16 perlawanan terakhir kita hanya menang dua kali jadi memang ada sejarah yang perlu kita ubah kali ini (dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027),” kata Cklamovski.
Kali terakhir Malaysia menang ke atas Vietnam ialah pada aksi separuh akhir Piala AFF 2014, dengan keputusan 4-2 di Stadium My Dinh pada yang membawa skuad negara ke final sebelum tumbang 3-4 kepada Thailand secara agregat.
Berdasarkan kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Harimau Malaya ketika ini berada di kedudukan ke-131 manakala skuad Naga Emas diranking 109 dunia dan bakal menjadi pasukan pilihan dalam pertembungan 10 Jun nanti.
Bagi mencerahkan peluang ke Piala Asia 2027, skuad kebangsaan tiada pilihan kecuali mengatasi Vietnam bagi mengumpul mata maksimum kerana format kali ini menyaksikan hanya juara kumpulan layak ke kejohanan berkenaan.-UTUSAN