PARIS: Pasukan Formula Satu (F1) Alpine dilanda kejutan apabila prinsipal pasukan mereka, Oliver Oakes meletak jawatan secara mengejut selepas hanya sembilan bulan memegang jawatan itu.
“Pasukan menerima peletakan jawatan beliau berkuat kuasa serta-merta.
“Bermula hari ini, Flavio Briatore akan meneruskan tugas sebagai penasihat eksekutif dan mengambil alih tanggungjawab yang sebelum ini dipegang oleh Oakes,” kata Alpine dalam kenyataan rasmi, hari ini.
Oakes, 37, meninggalkan pasukan ketika Alpine hanya berada di tangga kesembilan daripada 10 pasukan dalam kejuaraan pengeluar selepas enam perlumbaan.
“Pasukan ingin mengucapkan terima kasih kepada Oakes atas segala usaha sejak beliau menyertai musim panas lalu dan membantu pasukan menamatkan musim 2024 di kedudukan keenam,” katamya.
Gasly menjadi satu-satunya penyumbang mata dengan tujuh mata setakat ini, manakala Jack Doohan masih belum meraih sebarang mata dalam musim sulungnya.
Tempat Doohan turut dilaporkan dalam bahaya selepas Franco Colapinto dari Argentina, yang baru menyertai Alpine dari Williams, dijangka menggantikannya di Grand Prix (GP) Emilia-Romagna, minggu depan.
Alpine dijangka menggunakan enjin Mercedes musim depan selepas Renault menghentikan pengeluaran enjin F1 mereka buat kali pertama sejak 2015. – AGENSI