PETALING JAYA: Beregu campuran baharu negara, Loo Bing Kun-Toh Ee Wei membuktikan keserasian awal apabila mudah melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan 2025.
Pasangan itu hanya mengambil masa 24 minit untuk menyingkirkan gandingan Vietnam, Van Hai Pham-Van Anh Than, 21-14, 21-10 dalam aksi pusingan pertama di Arena Taipei, hari ini.
Bing Kun-Ee Wei seterusnya dijadualkan bertemu beregu scratch Korea Selatan, Ki Dong Ju-Jeong Na Eun, yang dijangka memberi tentangan lebih sengit di pusingan kedua, esok.
Na Eun bukan calang-calang lawan kerana pernah memenangi pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 ketika bergandingan bersama Kim Won Ho pada Ogos.
Sebagai sebahagian daripada pelan taktikal pasukan, gandingan utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak akan bersama untuk tiga kejohanan terdekat iaitu Terbuka Taiwan, Terbuka Thailand (13-18 Mei) dan Malaysia Masters pada 20 hingga 25 Mei ini.
Tang Jie akan bergandingan dengan Chan Wen Tse manakala Ee Wei bersama Bing Kun sebelum mereka disatukan semula di Terbuka Singapura pada 27 Mei hingga 1 Jun ini.
Bagaimanapun, ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto dijangka akan merehatkan kedua-dua beregu berkenaan pada Terbuka Thailand pada minggudepan untuk memberi masa untuk berehat selepas jadual kejohanan yang padat. – UTUSAN