KOTA BHARU: Seorang bayi berusia sebulan bersama ibunya antara 91 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan di kawasan tapak pembinaan pangsapuri 42 tingkat di Kubang Kerian, di sini, hari ini.
Pengarah Imigresen negeri, Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, semua PATI yang ditahan berusia sebulan hingga 55 tahun itu merupakan warganegara Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan India.
“Antara kesalahan dilakukan ialah mengikut Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Semua pendatang tersebut dihantar ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, ibu kepada bayi berkenaan berkata, dia bersama suami masuk ke negara ini menggunakan khidmat ejen pada November tahun lalu dengan menaiki bot dari Batam, Indonesia ke Johor selama tiga jam.
“Saya ke sini untuk menemani suami yang bekerja di tapak pembinaan di negeri ini sehingga melahirkan anak perempuan. Ini merupakan anak sulung kami,” ujarnya. – UTUSAN