MEKAH: Kerajaan Arab Saudi akan melihat anak bulan Zulhijjah hari ini untuk menentukan hari Arafah dan Hari Raya Aidiladha sekali gus menandakan bermulanya musim haji 1446H/2025M.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, Tabung Haji (TH)sentiasa memastikan kebajikan dan keselesaan semua jemaah haji negara dan akan berusaha memastikan semua jemaah haji dapat berwukuf dengan selamat.
“Untuk makluman semua, hari Arafah akan tiba kurang daripada 10 hari lagi. Kerajaan Arab Saudi juga telah menetapkan hari ini sebagai tarikh melihat anak bulan Zulhijjah yang akan menentukan hari Arafah dan Aidil Adha di Arab Saudi.
“Sepanjang tempoh puncak ibadah haji (9 hingga 13 Zulhijjah) TH akan memastikan jemaah berada di lokasi-lokasi utama (Arafah, Muzdalifah, Mina) mengikut masa, syarat sah ibadah dan dalam keadaan selamat serta terurus,” katanya pada sidang akhbar di Arafah, di sini semalam.
Beliau berkata, Jemaah Pakar Rujuk Bimbingan Haji bagi musim haji 1446H telah memutuskan penetapan waktu separuh malam pada malam 10 Zulhijjah di Muzdalifah bermula pada pukul 11.36 malam.
“Waktu ini bagi menentukan bermula waktu bermalam di Muzdalifah; bermula waktu melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah; bermula waktu untuk tahalul awal (gunting rambut) dan bermula waktu tawaf haji.
“Dalam pada itu, tempoh bermalam di Mina pada malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah 1446H pula sekurang-kurangnya 4 jam 35 minit,” katanya.
Katanya, bagi menjamin manasik haji dilaksanakan dengan sempurna, TH akan memberi bimbingan, perlindungan kesihatan, logistik dan kebajikan secara menyeluruh kepada semua jemaah haji.
“Pasukan Operasi Masyair dan Maktab kini sedang giat membuat persiapan untuk jemaah haji Malaysia yang akan berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah.
“Ketika ini hampir 95 peratus khemah-khemah di Arafah telah dipasang dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga hari lagi. Jumlah jemaah haji dalam sesebuah khemah bergantung kepada keluasan khemah di mana yang bersaiz besar boleh memuatkan lebih 200 orang.
“Setiap khemah dilabel jelas nombor maktab dan nombor khemah. Jemaah haji akan diberi lokasi nombor khemah di Arafah dan Mina dan jemaah boleh membuat semakan melalui aplikasi THHujjaj dalam sedikit masa lagi,” katanya.
Dalam pada itu, ujarnya, di Muzdalifah, lokasi lapang tanpa khemah, jemaah ditempatkan mengikut maktab dengan pihak Al Masiah (Masyarik) akan menyediakan tikar atau karpet di keseluruhan kawasan bermabit berkenaan.
“Di Mina, dengan keadaan ruang yang terhad menuntut JH sentiasa bertolak ansur dan saling membantu. Bilangan jemaah dimuatkan dalam satu-satu khemah berdasarkan saiz khemah seramai 16 hingga 20 orang,” tambahnya. – UTUSAN