‘Terkilan tidak sempat selamatkan ibu saudara’

‘Terkilan tidak sempat selamatkan ibu saudara’

ANGGOTA bomba memeriksa bilik tempat mayat Razaidah Muhamad ditemukan dalam rumah yang terbakar di Jalan Taman Emas Murni, Marang, Terengganu. - UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang lelaki terkilan gagal menyelamatkan ibu saudaranya yang maut selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Taman Emas Murni, di sini, semalam.

Wan Ahmad Izzat Wan Mohamad, 47, berkata, ibu saudaranya, Razaidah Muhamad, 78, merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori lemban ditemukan berada dalam sebuah bilik di rumah tersebut, namun tidak dapat menyelamatkan diri kerana api marak dengan cepat.

Katanya, dia dapat memasuki rumah tersebut dan sempat membantu menyelamatkan anak mangsa, Halimatun Mat Zain, 49, keluar melalui pintu tingkap ketika api mula marak.

Katanya, dua anak Halimatun yang juga OKU iaitu Muhammad Nur Hakim Abdull Adi, 18, dan kakaknya, Nur Aisyah Najwa, 23, dapat keluar rumah tersebut lebih awal apabila menyedari terdapat api di bahagian siling rumah.

“Saya melihat Razaidah berada di penjuru katil bilik nombor dua dalam keadaan ketakutan dan saya pula tidak berani masuk ke dalam bilik itu kerana api semakin marak. Ketika itu, kayu bahagian siling rumah yang terbakar runtuh di ruang tamu rumah.

“Pada masa itu, Rozaidah hanya mampu melaungkan kalimah Allah dan disambar api,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Wan Ahmad Izzat berkata, dia tinggal bersebelahan dengan rumah keluarga tersebut menyedari kebakaran itu kira-kira pukul 4 pagi.

Katanya, isterinya, Nurul Hasanah Wahab, 37, mengejutkannya selepas mendengar bunyi mencurigakan luar rumah dan selepas membuka tingkap, dia melihat api di bahagian bumbung rumah keluarga tersebut.

“Saya bergegas ke rumah itu untuk menyelamatkan empat beranak tersebut manakala isteri saya menghubungi pasukan bomba,” ujarnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Che Badrul Isham Che Mohd. Noor berkata, mayat Razaidah melecur kira-kira 25 peratus ditemukan di dalam sebuah bilik rumah tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN