PPS ditutup, mangsa buntu cari rumah

PPS ditutup, mangsa buntu cari rumah

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Azmi (kiri) melihat sebahagian mainan kanak-kanak yang disumbangkan kepada mangsa letupan gas di PPS Masjid Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights di sini buntu untuk mencari rumah sewa serta terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan dan ketidakpastian.

Ini kerana ada pusat pemindahan sementara (PPS) akan dikosongkan dalam masa terdekat.

Mangsa, Azrul Fitri Hamdan, 33, meluahkan kebimbangan untuk mencari rumah sewa baharu memandangkan kos yang semakin tinggi, ditambah pula dengan pendapatannya tidak menentu.

Katanya, dia yang sebelum ini menyewa di Lot 10, Jalan Kampung Kuala Sungai Baru bersama isteri, ibu bapa serta anak berusia dua tahun belum menemui rumah yang bersesuaian.

“Saya buat siaran langsung jual barang memancing di TikTok. Tapi sekarang, saya sendiri tak tahu nak pindah ke mana. Bajet memang tak cukup untuk cari rumah sewa baharu. Kalau ada pun kena ada sekurang-kurangnya RM2,000. Saya pula tak ada gaji tetap, memang rasa sangat buntu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Azrul Fitri, dia juga tidak mempunyai pengangkutan untuk memindahkan barang-barang yang masih boleh digunakan dari rumah sewa yang terjejas.

Seorang lagi mangsa, Norshahrizan Rosli, 39, mengakui, dirinya berdepan tekanan emosi dan kewangan akibat kehilangan tempat tinggal dan punca pendapatan.

Dia yang berniaga menjual makanan sejuk beku berkata, perlu menanggung isteri dan tiga orang anak berusia 13, 9 dan 8 tahun.

“Rumah kami di Lot 6, Kampung Kuala Sungai Baru habis musnah. Sekarang ni saya masih tunggu jawapan dari pemilik rumah sewa lain, tapi belum ada keputusan. Sewa rumah sekarang pun cecah lebih RM1,000. Saya memang tertekan, tapi saya kena kuat demi keluarga,” katanya.

Lebih merisaukan, anak sulungnya, Muhammad Shafwan, 13, mengalami trauma akibat letupan tersebut sehingga tidak dapat hadir ke sekolah dan kini ditempatkan di rumah ibu saudara di Serdang.

Dalam pada itu, Harib Abu Bakar, 54, yang kini ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia) berkata, sejak pagi semalam, mereka menerima arahan untuk keluar dari PPS tersebut.

Katanya, petugas memaklumkan mereka perlu memuat turun aplikasi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi memilih lokasi rumah sewa sementara tanpa sebarang panduan jelas atau jaminan tempat tinggal.

“Kami disuruh kosongkan dewan, tapi bila tanya nak pindah ke mana, petugas hanya jawab ‘kami ikut arahan’. Sekarang saya dan keluarga tak tahu ke mana nak pergi malam ini,” katanya.

Menurut sumber, mereka yang telah diluluskan permohonan penempatan sementara melalui aplikasi itu akan dipindahkan ke rumah sewa menerusi bantuan kerajaan negeri, manakala yang tidak lulus akan ditempatkan semula di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan, dua PPS yang menetapkan lebih 600 mangsa akan ditutup secara berperingkat mulai malam semalam.

Katanya, PPS Dewan Camelia ditutup secara rasmi mulai pukul 10 malam.

“Mangsa di PPS Dewan Camelia akan pulang ke rumah sendiri atau unit kediaman Airbnb yang kita tawarkan sebelum ini atau rumah sewa yang mereka sendiri pilih.

“Kita sudah terima senarai mangsa yang berminat untuk menyewa di unit kediaman Airbnb,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN