Aksi Ayob Khan tebar roti canai tular

Aksi Ayob Khan tebar roti canai tular

ayob khan
TANGKAP layar menerusi akaun facebook Ayob Khan Mydin Pitchay.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Video Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mencuri perhatian apabila mempamerkan kemahiran menebar roti canai ketika bercuti bersama isterinya di Sibu, Sarawak semalam melalui laman Facebook miliknya. 

Rakaman video itu dimuat naik di akaun Facebook rasmi beliau sebentar tadi, memaparkan Ayob Khan menghasilkan tujuh keping roti canai di sebuah restoran di Terminal Bas Sibu.

Dalam kapsyen video berkenaan, beliau menjelaskan percutian singkat bersama isteri memberi peluang untuk ‘mengasah bakat’ di dapur terbuka restoran terbabit.

“15 September 2025, saya dan isteri bercuti dua hari di Sibu, Sarawak, malam tadi pergi mahu makan roti canai di Curry House Sibu Bus Terminal, tepai melihat cara mamak yang tebar roti canai tu tidak memenuhi cita rasa saya.

“Saya ambil alih tugas beliau, tebar tujuh biji roti canai untuk kami makan, sekali-sekala kena asah bakat juga, dah nak pencen ni,” tulisnya dalam nada berseloroh.

Video aksi santai itu memaparkan Ayob Khan menebar roti canai dengan penuh yakin sebelum disajikan kepada keluarganya.

Hantaran tersebut menjadi tular dan meraih ribuan tanda suka, komen serta perkongsian daripada orang ramai yang kagum dengan bakat beliau.

Rata-rata pengguna media sosial memuji sikap rendah diri Ayob Khan yang tidak kekok mencuba sesuatu di luar bidang tugasnya sebagai pegawai tinggi polis.

Setakat petang 2  pagi tadi, video berdurasi dua minit 13 saat itu sudah ditonton lebih 505,000  pengguna Facebook dengan lebih 23,900 tanda suka bersama lebih 2,600 komen selain dikongsi kira-kira 1,100 pengguna. 

Momen santai itu turut menampilkan sisi berbeza figura berprofil tinggi tersebut, yang sebelum ini lebih dikenali dengan ketegasan dalam tugas membanteras jenayah dan menjaga keselamatan negara.

Fenomena tular itu sekali gus memperlihatkan sisi mesra seorang pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mudah didekati walaupun memegang jawatan penting dalam pasukan keselamatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN